USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KETOKOHAN DIIKTIRAF: NAIB CANSELOR USM DIANUGERAH FELO KEHORMAT COL

VC Fellow1

EDINBURGH, SCOTLAND, 12 September 2019 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai penerima Felo Kehormat Commonwealth of Learning (COL). 


Dalam kenyataan surat dari Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif COL, Profesor Asha S. Kanwar menyebut, anugerah berkenaan diberikan kepada Asma atas sumbangan besarnya dalam pembangunan bidang pendidikan di Malaysia, khususnya ketika beliau meneraju kepimpinan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia serta yang terkini sebagai Naib Canselor USM.


Kenyataan itu juga menyebut peranan Asma dalam mempromosikan akses kepada pendidikan tinggi berkualiti khususnya kepada wanita telah menjadi sumber inspirasi utama kepada banyak pihak dalam komuniti Komanwel.

Beliau menerima anugerah berprestij berkenaan bersempena Ninth Pan-Commonwealth Forum on Open Learning (PCF9) di Edinburgh, Scotland. PCF9 yang bertemakan “Innovations for Quality Education and Lifelong Learning” dianjurkan dengan kerjasama Open University United Kingdom.

Asma tersenarai sebagai salah seorang penerima dalam anugerah tersebut yang mula diperkenalkan dalam tempoh 1998-1999.

Anugerah itu diwujudkan bagi mengiktiraf individu-individu terpilih yang telah memberi sumbangan signifikan dalam pertumbuhan dan pembangunan pembelajaran berasaskan teknologi-media baik di peringkat negara, antarabangsa serta pemajuan pendidikan dalam Komanwel secara amnya.

COL adalah sebuah pertubuhan antara kerajaan yang ditubuhkan oleh Commonwealth Heads of Government pada 1988.


Berpengkalan di  Kanada, COL berkerja secara rapat dengan kerajaan, institusi dan agensi tempatan negara-negara Komanwel dalam membentuk jaringan kerjasama yang memberi manfaat kepada semua pihak dalam semangat kesamarataan dan keterlibatan.


Ia turut dibangunkan bagi memberi galakan kepada pembangunan dan perkongsian pembelajaran secara jarak jauh dan terbuka serta perkongsian sumber dan teknologi.

Antara rakan strategik COL di peringkat antarabangsa termasuk UNESCO, WHO, World Bank serta Commonwealth Secretariat dan sebagainya.

Terjemahan: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 859

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024