DUA PENGHUNI PENJARA IKUTI PENGAJIAN SARJANA USM, TUNJUK SEMANGAT UBAH MASA HADAPAN

EAM 9719 edited

PULAU PINANG, 10 September 2019 – “Semua manusia berhak mendapat peluang kedua. Jangan menghukum dan menilai kami selamanya kerana kesalahan yang dilakukan itu mungkin hanya sekali dalam sepanjang hayat kami.”

Demikian antara harapan salah seorang penghuni Penjara Seberang Perai yang hanya mahu dikenali sebagai Ken, 34, yang kini sah bergelar pelajar rasmi Universiti Sains Malaysia (USM) yang akan mengikuti pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Pengurusan.

Ketika temubual secara eksklusif bersama beliau, Ken menyifatkan kelonggaran yang diberikan oleh pihak penjara dengan kerjasama USM telah menguatkan semangatnya untuk terus menimba ilmu biar dirinya 24 jam berada di balik tirai besi sejak disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara sejak 2011 yang lalu.

Malah, beliau berjaya menamatkan pengajian ijazah pertamanya dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Open University Malaysia (OUM) juga ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang dan menyifatkan keluarga adalah antara pendorong utamanya untuk keluar menjadi insan berguna dan mampu memberi sumbangan kembali kepada masyarakat.

“Kami berharap kejayaan ini akan mendorong lebih ramai penghuni penjara untuk terus mengejar cita-cita. Semua manusia melakukan kesilapan namun itu tidak bermakna kami tidak boleh berbuat baik dan diterima masyarakat.

“Peluang ini juga telah mengubah hidup saya yang pernah berdepan masalah keyakinan diri sehingga tidak mampu berdepan dengan orang luar serta tidak lagi mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris walaupun fasih ketika bebas di luar satu ketika dulu,” ujarnya yang kini sedang dalam fasa akhir hukuman dan dijangka akan dibebaskan pada tahun 2021.

Rakan baiknya, Jep, 36, yang bergraduasi dalam bidang ijazah Sarjana Muda (Sains Politik) dari OUM juga berkata, beliau tekad untuk mengubah masa hadapan dengan mengikuti pengajian sehingga ke peringkat ijazah Doktor Falsafah (Ph.D).

“Saya mahu membalas jasa seluruh ahli keluarga saya khususnya ibu dan ayah yang tidak pernah jemu memberi sokongan dan kasih sayang walau di mana saya berada. Saya juga ingin membuktikan tiada yang mustahil untuk dilakukan jika berkesungguhan.

“Pihak penjara juga banyak memberi sokongan dan peluang ini saya gunakan sebaiknya untuk mengejar apa yang saya inginkan.

“Saya berharap dengan keputusan untuk menyambung pengajian ini sekurang-kurangnya dapat membuat keluarga saya bangga dan gembira dengan diri saya walaupun pernah mengecewakan mereka,” tambah Jep yang sah menjadi pelajar Sarjana Sains Kemasyarakatan (Antropologi dan Sosiologi) dan menfokuskan dalam bidang Kriminologi.

Kedua-dua mereka bakal membuat penyelidikan di balik tirai besi menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak penjara seperti penggunaan talian internet bermula 8.00 pagi sehingga 4.00 petang setiap hari bekerja dengan pemantauan oleh pegawai penjara serta perbincangan bersama penyelia masing-masing dengan keizinan pengurusan penjara.

Mereka yang kini tinggal di dalam satu bilik mula memohon untuk menyambung pengajian pada Julai tahun lalu dan memilih USM kerana reputasinya yang bagus sebagai sebuah universiti yang terbaik di Asia.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM, Profesor Madya Dr. Tay Guan Seng berkata, USM sentiasa membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berhasrat untuk mengejar ilmu sehingga ke peringkat tertinggi.

“USM mengucapkan tahniah dan berharap langkah kedua-dua penghuni penjara ini dapat dijadikan contoh kepada semua pihak. USM sentiasa menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat dan akan membantu sebaiknya dalam memenuhi impian kedua-dua pelajar ini mencapai cita-cita mereka,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kedua-duanya akan dilayan seperti para pelajar yang lain dan tidak ada istilah diskriminasi dalam usaha untuk pembelajaran dan pengajaran.

Hadir sama dalam sesi pendaftaran rasmi bersama Jep dan Ken itu adalah Pengarah Penjara Seberang Perai, Husin Omar dan juga Ketua Unit Pemulihan dan Pendidikan, Mahali Mat Nor serta Penolong Pendaftar Kanan IPS, Farah Man.

Teks: Marziana Mohamed Alias & Nor Rafizah Md. Zain

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015