USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

25 PELAJAR USM TERIMA WATIKAH LEFTENAN MUDA PERTAHANAN AWAM

SERDANG, 18 Ogos 2019 – Seramai 25 orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima watikah pelantikan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam di Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan Kali Kesepuluh Tahun 2019 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Pada tahun ini, UPM dipilih sebagai tuan rumah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Uniknya pada pentauliahan kali ini, daripada 25 orang pelajar USM itu, lima adalah dari Kampus Kesihatan USM dan selebihnya dari Kampus Induk USM.

Salah seorang daripadanya ialah Divhyia a/p Rajandran, 24, dari Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) Kampus Kesihatan yang telah berjaya menamatkan latihan menjadi Leftenan Muda Pertahanan Awam walaupun sibuk dalam bidang akademik terutamanya dalam menjadi seorang doktor pergigian.

"Saya amat suka dalam bidang kesukarelawanan, dan APM adalah salah satu agensi yang membolehkan saya berbakti kepada masyarakat tidak kira masa dan tempat.

“Saya akan melapor diri di cawangan APM terdekat selepas ini, untuk meneruskan khidmat bakti saya dalam pasukan walaupun selepas ini saya akan menjalani praktikal sebagai Pegawai Perubatan Pergigian Pelatih.

APM sudah menjadi sebahagian daripada jiwa saya, dan saya akan bersiap siaga untuk bertugas dalam pasukan," ujar Divhyia, berasal dari Johor, ketika ditemu bual selepas tamat majlis pentauliahan.

Bertemakan ‘APM Penanda Aras Semangat Kesukarelaan’, pentauliahan ini melibatkan penyertaan dari 19 IPT awam dan swasta dari seluruh Malaysia.

Majlis Pentauliahan Kor Sispa IPT telah dimulakan dengan Majlis Perbarisan Tamat Latihan bertempat di padang kawad UPM, yang kemudian disusuli dengan atur cara majlis penyampaian sijil pentauliahan di Dewan Tuanku Canselor UPM oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Tuan Amirudin Shari.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan

  • Created on .
  • Hits: 1197

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024