USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

50 WAU DAUN USM DILEPASKAN SERENTAK, TERIMA PENGIKTIRAFAN MALAYSIA BOOK OF RECORDS

wau90

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 September 2019 – Angka 50 merupakan angka keramat yang telah meletakkan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Rekod itu dicipta apabila 50 buah wau tradisi yang digelar 'wau daun' berlogokan USM 50 telah dilepaskan serentak ke ruang angkasa.

Pelepasan dan pelayangan wau itu berlaku semasa upacara perasmian Festival Layang-Layang Antarabangsa USM 2019 yang berlangsung di sini hari ini.

Wau daun USM 50 telah dinaikkan secara serentak melibatkan 100 orang warga staf Kampus Kesihatan yang berpakaian pelbagai gred jawatan yang ada di kampus tersebut.

wau 5

Menurut Timbalan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Adam Hussein selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan 50 Tahun Peringkat Kampus Kesihatan berkata, Festival Layang-Layang Antarabangsa ini adalah julung kalinya dianjurkan oleh USM melalui Jabatan Ortopedik Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Unit Ko-Kurikulum USM dengan kerjasama Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC), Majlis Pelayang Malaysia (MPM) dan Persatuan Pelayang Negeri Kelantan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Festival Layang-Layang Antarabangsa USM, Dr. Shaifulzain Abd Rahman berkata, festival yang dianjurkan bersempena dengan Sambutan 50 tahun Jubli Emas penubuhan USM ini menjadikan USM sebagai penganjur pertama di negara ini yang menganjurkan Festival Layang-layang peringkat Antarabangsa dengan berjaya menarik penyertaan 32 peserta antarabangsa dari 14 negara seperti Scotland, Sweden, Colombia, Korea, German, Brunei, Indonesia, Kemboja, Singapura, Thailand, Austria, Jepun, Vietnam, Amerika Syarikat dan China.

“Selain itu, para pelayang antarabangsa dan tempatan akan membuat pertunjukan, persembahan serta pertandingan dengan menerbangkan pelbagai bentuk layang-layang warna-warni bersaiz besar dan sederhana pelbagai warna yang akan menghiasi ruang angkasa Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian," ujar Shaifuzain.

Salah seorang peserta antarabangsa yang menyertai festival layang-layang antarabangsa di USM, Ron Spaulding daripada Amerika Syarikat berkata, kehadiran pengunjung yang begitu ramai membuatkan beliau amat teruja untuk berkongsi dengan pengunjung cara untuk membina layang-layang moden.

Sijil

Majlis penyerahan plak sijil pengiktirafan MBOR telah disempurnakan oleh wakil MBOR, Nurul Fatihah Mahmod kepada Timbalan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM Profesor Dr. Adam Hussein disaksikan oleh Dr. Saifulzain Abd Rahman dan Penyelaras Ko- Kurikulum Kampus Kesihatan USM, Dr. Mohd Ismail Ibrahim.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan/Foto: Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 1560

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024