USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BAWA PERUBAHAN DALAM HIDUP ANAK-ANAK ROHINGYA MELALUI MUZIKAL

69212100 1440218869436205 4723148459937366016 o

PULAU PINANG, 1 September 2019 – Pusat Pengajian Seni dengan kerjasama Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) akan mengadakan persembahan “Jungle Book the Musical” bertempat di Auditorium Dewan Budaya USM selama 3 hari pada bulan September ini.

Muzikal karya Rudyard Kipling ini akan dipersembahkan dari 5 hingga 7 September 2019. Ia akan menampilkan skrip and lagu-lagu tersendiri, serta barisan pelakon yang terdiri daripada kanak-kanak Rohingya dan kanak-kanak tempatan serta pelajar USM.

Menurut Pengarah Projek, Dr. Pravina Manoharan, muzikal ini diadakan dengan tujuan untuk memperkenalkan seni persembahan dan Bahasa Inggeris kepada kumpulan kanak-kanak Rohingya itu.

Jungle1 copy

 

“Mowgli (karakter utama dalam muzikal) yang mencari identiti dirinya mempunyai persamaan dengan pengalaman anak-anak ini. Mereka telah melalui pelbagai dugaan dan musibah untuk datang ke sini dan mereka sedang mencari makna kehidupan di sini,” katanya dalam kenyataan media.

Dalam pada itu, Dekan Pusat Pengajian Seni, Dr. Mumtaz Begum memberitahu bahawa walaupun anak-anak Rohingya ini memperolehi pendidikan asas melalui usaha Penang Peace Learning Centre, mereka masih tidak dibenarkan mendaftar di mana-mana sekolah awam berikutan status pendatang mereka.

“Anak-anak tidak seharusnya dibiarkan tercicir sewaktu zaman membesar mereka, dan kami amat berharap muzikal ini dapat memberi mereka peluang berkongsi ‘cerita’ mereka dengan masyarakat luar, selain dapat bergembira seketika mengambil bahagian dalam muzikal ini,” tegas beliau.

jungle2

Bakat-bakat tempatan juga terlibat dalam menjayakan muzikal ini. Di antaranya pengasas Klinik Spine and Joint, Dato’ Dr. Nick Boden serta isteri, pengacara TV Datin Elaine Daly; pengasas Fugee School dan bekas ratu cantik, Deborah Priya Henry; dan juga YB Syerleena Abdul Rashid, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima dan alumni Pusat Pengajian Seni dalam bidang Seni Halus (Komunikasi Grafik).

Mereka akan turut serta dalam muzikal tersebut sebagai VIP jemputan pada 6 September, untuk memberi sokongan dalam persembahan VIP nanti.

Turut hadir menonton persembahan teater muzikal tersebut ialah Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor Shariff dan isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Lean Kee, yang juga Pengerusi Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang.

Hasil jualan tiket muzikal ini akan digunakan untuk membantu Penang Peace Learning Centre, yang buat masa ini menempatkan 40 orang anak-anak Rohingya.

Pusat ini sedang berhadapan masalah kewangan dan berkemungkinan perlu berpindah keluar akhir tahun ini sekiranya sewa dan bayaran berkaitan yang lain tidak mampu diselesaikan. Pada masa yang sama, dengan bantuan yang diberi, ia akan membantu menyediakan tempat berteduh serta keperluan lain bagi anak-anak pendatang tersebut.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin



  • Created on .
  • Hits: 902

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024