USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

S-LOCK BEYOND REHAB GAH DI PENTAS KIK IPT 2019

69264361 2484052448322440 7865061120229244928 n

MELAKA, 22 Ogos 2019 – Kumpulan Beyond Rehab daripada Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) kelmarin telah mengharumkan nama USM apabila menjadi Juara Kategori Teknikal bagi Konvensyen KIK Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2019.

Mempertaruhkan barisan yang mantap diketuai oleh Nurul Wahida Zulkifli (ketua kumpulan), Dr. Muhammad Hafiz Hanafi, Ahmad Faris Musa, Noor Asyrani Adanan, Razak Daud, Lisa Nabihah Mohd Bakir, Nurulakma Mat Zin, Nor Hazilah Shari dan Nor Anizan Mat Yasin, pasukan ini mempertaruhkan projek S-Lock di konvensyen kali ke-15 ini. 

Sementara itu, lebih membanggakan, fasilitator kumpulan ini iaitu Hasnetty Zuria Mohamed Hatta turut merangkul Fasilitator Terbaik kategori teknikal bagi konvensyen kali ini. 

Menurutnya, S-Lock digunakan sebagai alatan bantuan untuk membetulkan penjajaran tulang belakang yang membengkok iaitu scoliosis. 

“Keistimewaan S-Lock ialah ianya lebih murah, boleh dilaras, fleksibel dan mempunyai pelbagai saiz untuk digunakan golongan dewasa dan juga kanak-kanak,” tegasnya.

Tambahnya, kejayaan bagi kumpulan ini dan dirinya disusuli dengan rasa kesyukuran serta harapan agar dapat terus menghasilkan inovasi-inovasi lain yang lebih berkualiti di masa hadapan. 
 
Seluruh ahli kumpulan Beyond Rehab juga merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi USM, pengurusan tertinggi USM Kampus Kesihatan terutama Pengarah Kampus dan Pengarah Hospital USM Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; pihak Pusat Transformasi Insan (PTI) USM terutama Profesor Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan dan pasukannya; pengurusan tertinggi Pusat Pengajian Sains Perubatan terutamanya Dekan, Profesor Dr. Shaiful Bahari; Jabatan Pembangunan USM Kampus Kesihatan; kumpulan-kumpulan KIK lain terutamanya rakan seperjuangan kumpulan C-Nova; kumpulan-kumpulan KIK dari Unit Perubatan Pemulihan seperti Rehab Charger, QCR dan pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dlm merealisasikan projek ini.

Mereka juga merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada kumpulan KIK Galaksi R3 dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) yang juga merupakan juara tahun lepas kerana membantu memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada kumpulan Beyond Rehab. 

Selaku juara, Beyond Rehab membawa pulang piala dan wang berjumlah RM6,000. Sebanyak 12 pasukan bertanding bagi kategori ini.

Dari segi sejarah, Beyond Rehab pernah melakar kejayaan antaranya mewakili USM ke pertandingan ICQCC di Bangkok, Thailand dan merangkul anugerah emas pada tahun 2016, Johan Konvensyen KIK USM 2018, Naib Johan Cabaran Inklusif Zon Timur 2017, Penarafan Emas 5 bintang dan antara 20 Kumpulan Terbaik Sektor Awam di APIC 2018.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1595

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024