USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

REDAC USM PERKUKUH KERJASAMA DENGAN JPS

IMG 0101

PULAU PINANG, 2 Ogos 2019 – Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Universiti Sains Malaysia (USM) memperkasa hubungan strategik dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) bagi membangunkan pelbagai inisiatif untuk pembangunan lestari.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, kerjasama pada kali ini lebih menjurus kepada permerkasaan Bio-Ecological Drainage System, (BIOECODS) sebuah projek perintis nasional untuk pematuhan kepada Manual Saliran Mesra Alam (MSMA).

Selain itu katanya, USM dan JPS akan terus bekerjasama dalam usaha pembangunan pelan induk saliran mesra alam, projek tebatan banjir, penganjuran persidangan dan sebagainya. 

IMG 0110

“Universiti juga berharap dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) ini, ia akan menjadi platform kepada REDAC untuk lebih cemerlang di arena serantau dan antarabangsa.

“Ia turut diharap akan berupaya menjadikan REDAC kekal relevan dan dominan dalam bidang kejuruteraan sungai dan saliran bandar seiring dengan JPS Malaysia sebagai sebuah organisasi utama memelihara sumber air negara,” katanya.

Asma berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penandatanganan MoU di antara USM dengan JPS di sini semalam.

Ketua Pengarah JPS Malaysia, Dato’ Ir. Hj. Abdullah Isnin hadir menandatangan MoU bagi pihak JPS manakala Pengarah Kampus Kejuruteraan merangkap Pengarah REDAC USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dan Timbalan Ketua Pengarah JPS, Dato’ Ir. Sabri Abdul Mulok masing-masing menandantangan bagi pihak saksi.

mou jps2

Abdullah dalam ucapannya pula berkata, pelaksanaan MSMA menghadapi pelbagai cabaran termasuk dari aspek pematuhan oleh pemaju kerja-kerja tanah selain ketiadaan peruntukan dan kepakaran teknikal.

Pun begitu katanya, setelah mula diperkenalkan pada 2001, usaha ini telah menunjukkan tanda-tanda kejayaan termasuk banyak projek terutamanya yang dibina oleh pihak swasta telah dilengkapi dengan sistem saliran berkonsepkan MSMA.

IMG jps1

IMG jps26

“Justeru, dalam usaha JPS melaksanakan tanggungjawab membangunkan infrastruktur, kolaborasi berkenaan sumber air dengan Universiti dan ahli akademiknya menjadi salah satu cara bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” ujar beliau.

Katanya, USM turut mempunyai kepakaran tersendiri yang sangat diperlukan bagi memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan baik di peringkat dalam dan juga luar negara.

Majlis juga dihadiri oleh pensyarah dan penyelidik REDAC dan juga barisan pengurusan JPS.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1136

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024