USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GABUNGAN PAKAR HOSPITAL USM, HEALING LITTLE HEARTS UK: 11 PESAKIT JANTUNG KONGENITAL BERJAYA JALANI PEMBEDAHAN DALAM MASA 5 HARI

klantan1

USM KUBANG KERIAN, 25 Julai 2019 – Menyantuni dan menjalankan pembedahan ke atas pesakit jantung kongenital saban tahun menjadi satu kepuasan kepada sekumpulan pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dan pasukan perubatan 'Healing Little Hearts' (HLH) dari United Kingdom.

Menurut Penyelaras Program, Dr. Mohd Rizal Mohd Zain, pada tahun ini, seramai lapan orang pakar bedah dan kakitangan perubatan pelbagai bidang dari HLH seperti pakar bedah Kardiotorasik Pediatrik, Kardiologi Pediatrik, Intensivis serta Perfusionis telah berjaya melakukan 11 pembedahan pesakit yang berumur seawal 20 hari hingga 32 tahun dalam masa lima hari lawatan mereka ke Hospital USM.

"Sebenarnya di Hospital USM memang kami menjalankan pembedahan ke atas pesakit dengan masalah jantung kongenital tetapi terhad kepada kes-kes yang tidak kronik namun dengan bantuan pasukan HLH, ianya membuka peluang kepada kami melakukan pembedahan dan merawat kes yang lebih kompleks dan kes kecemasan contohnya salah satu pembedahan yang dilakukan dalam program ini melibatkan kes kecemasan pesakit dari Terengganu."

klantan2 edited

"Kalau diikutkan senarai, ada 20-30 pesakit menunggu giliran untuk menjalani pembedahan tetapi oleh kerana pelbagai kekangan terutamanya kewangan, ramai yang terpaksa menunggu lama dan program 'Healing Little Hearts' ini sangat membantu pesakit terutamanya golongan B40 namun kita turut melihat keperluan terhadap setiap kes." 

Menurut Mohd Rizal, kos pembedahan pesakit jantung kongenital mencecah RM40 hingga RM50 ribu tetapi melalui program ini, pesakit tidak perlu menanggung kos rawatan yang tinggi kerana sebahagian besar kos tersebut ditanggung dengan sumbangan yang disalurkan menerusi Tabung Kebajikan Persatuan Alumni Doktor USM (PADUcare).

"Apa yang lebih membanggakan, program kebajikan Pediatrik Kardiotorasik pada tahun ini turut mendapat kerjasama  Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS) yang diasaskan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tabung Kebajikan Persatuan Alumni Doktor USM (PADUcare) dan Ronald McDonald House Charities (RMHC).

Sehingga hari ini, seramai 71 pesakit jantung kanak-kanak berjaya menjalani pembedahan hasil kerjasama antara Hospital USM dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 'Healing Little Hearts' (HLH) itu sejak 2015.

klantan3

Sementara itu, satu majlis ringkas penyerahan sumbangan YANAS kepada PADUcare telah diadakan di sini bersempena memperkenalkan pasukan pakar yang terlibat. YANAS yang diwakili oleh Setiausaha Yayasan, Mohd Affendi Mohd Amin menyerahkan replika cek sumbangan berjumlah RM15,700 sebagai penajaan penginapan pakar HLH sepanjang mereka berada di sini. 

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penyelaras Unit Pembangunan Korporat yang mewakili Pengarah Hospital USM, Profesor Madya Dato' Dr. Abdul Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Pakar Runding Intensivis, Leicester Hospital, United Kingdom, Dr. Mohammad Shanisuz Zoha; Presiden Persatuan Alumni Doktor Perubatan USM (PADU), Dr. Ahmad Filza Ismail dan Pengerusi Tabung Kebajikan Persatuan Alumni Doktor USM (PADUcare), Profesor Dato' Dr. Jafri Malin Abdullah. 

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Unit Fotografi UKAST

  • Created on .
  • Hits: 2284

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024