USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAI 427 WARGA STAF CEMERLANG

apc1

PULAU PINANG, 24 Julai 2019 - Seramai 427 warga Universiti Sains Malaysia (USM) dari seluruh pusat tanggungjawab (PTJ) di Kampus Induk, kampus Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Kampus Kejuruteraan bagi tahun 2018 telah dirai sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dalam majlis khas di sini hari ini. 

Daripada jumlah tersebut, seramai 137 orang staf adalah dalam kalangan staf akademik, 59 orang staf kumpulan pengurusan dan profesional serta 231 orang staf kumpulan pelaksana. 

EAM 1381 edited

Majlis yang dihadiri oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail serta Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Pegawai-Pegawai Utama Universiti itu dianjurkan khusus bagi meraikan staf-staf yang telah menabur khidmat dengan cemerlang, menghargai komitmen yang diberi agar menjadi pendorong dan pemangkin untuk terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti. 

apc5 edited

apc6 edited

Asma dalam ucapannya berkata, prestasi kerja yang bermutu tinggi dan bertaraf global kini menjadi tuntutan dalam kalangan warga universiti selaras dengan usaha untuk membawa USM ke persada dunia dan dunia ke USM.  

“Oleh itu, tanggungjawab yang dizahirkan oleh warga kampus dalam pelbagai aspek tugas serta penglibatan untuk menjayakan agenda yang dirancang oleh Universiti selama ini sangat dihargai.  

apc3

“Universiti mengharapkan agar anda akan terus konsisten untuk menjadi tulang belakang dalam memastikan kejayaan demi kejayaan dirangkul oleh USM baik di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa,” ucapnya pada majlis tersebut yang diadakan di Pusat Konvensyen SETIA SPICE, Bayan Lepas, di sini. 

Tambahnya lagi, USM menyambut ulang tahun ke-50 pada tahun ini dan perjalanan USM yang bermula tahun 1969 sehingga 2019 membuktikan pelbagai cabaran telah berjaya ditempuh hasil kesungguhan serta komitmen yang padu daripada seluruh warganya dan masyarakat sekeliling. 

“Cabaran yang kita hadapi sekarang dan pada masa hadapan memerlukan kesediaan kita untuk bekerja keras, bertindak pantas, bersifat kreatif dan inovatif, serta penuh integriti dalam menyampaikan perkhidmatan,” katanya lagi. 

apc4 edited

Yang turut hadir adalah Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Profesor Dr. Zainal Ariffin Mohd Ishak; Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Pendaftar USM, Dr. Musa Ali dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1635

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024