USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM UNIVERSITI AWAM PERTAMA TAWARKAN PENGKHUSUSAN ‘BUSINESS ANALYTICS’ BAGI KURSUS IJAZAH SARJANA MUDA PENGURUSAN

SOM

PULAU PINANG, 10 Julai 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah diberi pengiktirafan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sebagai universiti awam pertama di Malaysia yang menawarkan kursus ijazah Sarjana Muda Pengurusan dengan pengkhususan dalam ‘Business Analytics’, bermula sesi akademik 2018/2019 lalu. 

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, kursus ini adalah cetusan pemikiran Pusat Pengajian Pengurusan USM (SOM), yang telah berkolaborasi dengan MDEC sebagai rakan strategiknya.

“Pengkhususan dalam ‘Business Analytics’ ini telah dirangka bersama dan merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia yang memanfaatkan input dari pakar dan pengamal industri bermula dari awal lagi. 

“Kandungan kursus ini amat relevan dengan keperluan dunia moden, terutamanya dalam menghadapi ketibaan era Industri 4.0,” kata Asma. 

“Penganalisis perniagaan dengan bakat hibrid mampu menarik perhatian organisasi yang mencari pekerja yang berkebolehan melaksanakan proses tugas secara menyeluruh.

“Kemahiran hibrid juga boleh berfungsi sebagai petunjuk kepada majikan bahawa bakat sebegini berupaya untuk terus belajar serta meningkatkan kemahiran sedia ada ataupun yang baharu dalam suasana persekitaran perniagaan yang dinamik. 

“Dengan itu, kebolehpasaran seseorang akan meningkat dengan adanya kemahiran dan ilmu tentang ‘business analytics’ kerana keupayaan bakat sebegini dapat memberi sumbangan besar kepada keseluruhan nilai entiti perniagaan,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Bakat MDEC, Bahagian Data Ekonomi, Maria Khor melalui surat pengiktirafan kepada USM berkata, MDEC menghargai usaha SOM dalam menghasil dan memajukan graduan yang menceburi bidang data bagi memenuhi unjuran keperluan negara seramai 20,000 ahli profesional bidang data menjelang tahun 2020.   

Bidang ‘Business Analytics’ ini melibatkan usaha mencari data dan memacu perancangan masa depan perniagaan dengan menterjemah sejumlah besar data kepada ilmu yang boleh dilaksanakan.

Ianya membantu menjawab, “Apa akan berlaku seterusnya?” (meramal) dan “Apa yang patut dilakukan?” (mencadangkan) melalui penggunaan statistik dan kaedah kuantitatif, alatan komputasi, serta model bagi meramal dalam memberi penyelesaian yang disokong data.

Kursus baharu ini juga melibatkan subjek-subjek seperti ‘machine learning’ bagi aplikasi perniagaan, penyediaan serta visualisasi data, projek gunaan ‘business analytics’, ‘accounting and finance analytics’, ‘applied analytics’ dan ‘programming for business analytics’ yang akan mengubah pelajar menjadi profesional bidang ‘analytics’. 

Dekan SOM, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad berkata, “kursus baharu Business Analytics ini memacu usaha USM melestarikan pembangunan dan penyelidikan dalam bidang perniagaan.” 

“Majikan lazimnya akan memilih calon-calon ynag berfikiran teknikal dan berharap agar mereka memiliki kemahiran berurus niaga serta mampu meneliti pelbagai masalah dan cara penyelesaiannya. 

“Namun begitu, keadaan pasaran sekarang memerlukan ‘business analysts’ yang tidak hanya memiliki kemahiran teknikal berkaitan 'machine learning' dan 'AI', tetapi mereka yang juga mahir dalam pemikiran strategik dan berorientasikan perniagaan,” tambah beliau. 

Pihak SOM positif bahawa pengkhususan 'Business Analytics' itu akan mendapat sambutan yang baik, seperti mana enam pengkhususan lain yang sedia ada iaitu bidang ‘Operations’, ‘Marketing’, ‘Finance’, ‘Islamic Finance’, ‘International Business’ dan ‘Organisational Behaviour’. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web berikut: http://www.som.usm.my/

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin 

  • Created on .
  • Hits: 1746

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024