USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LET’S GATHER WITH YBM: WARGA USM BERPELUANG BERINTERAKSI DENGAN MENTERI PENDIDIKAN

maszlee1

USM PULAU PINANG, 17 Mei 2019 – Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik semalam mengadakan sesi pertemuan townhall bersama warga Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai sebahagian daripada inisiatif libat urus beliau dengan pemegang-pemegang taruh Universiti Awam (UA).

Proses libat urus ini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan iaitu kakitangan akademik, kakitangan bukan akademik dan juga mahasiswa termasuk pemimpin pelajar.

Sesi Let's Gather With YBM' yang berlangsung di Dewan Budaya di sini bertindak sebagai satu platform interaksi dengan warga USM, selain bagi menjelaskan dasar dan inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), khususnya sejak Maszlee menerajui Kementerian dalam memacu sistem pendidikan tinggi ke arah bertaraf global.

maszlee3 edited

Menurut beliau, sepanjang setahun yang lalu, KPM telah menggerakkan sembilan teras utama selaras dengan pendekatan “Pendidikan Untuk Semua” (Education For All) iaitu manfaat untuk warga B40, guru sebagai fokus utama, murid sebagai tonggak, komitmen menangani isu sekolah daif, perhatian penuh kepada Orang Kurang Upaya (OKU), kewibawaan institusi pendidikan tinggi, peningkatan kerjasama dalam pendidikan tinggi swasta, pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan pemerkasaan bahasa, budaya dan sastera.

“Di bawah teras yang berkaitan dengan kewibawaan institusi pendidikan tinggi, usaha sedang diambil untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Seksyen 15(2)(c) AUKU telah pun dimansuhkan pada Disember 2018. Kajian pemansuhan menyeluruh AUKU sedang dijalankan dan satu akta baharu sedang dirangka untuk dibentangkan di Parlimen pada tahun 2020,” katanya.

maszlee5 edited

Tambah beliau, “Selain itu, mandat juga telah diberikan kepada pelajar di semua UA untuk mengendalikan sendiri Pilihan Raya Kampus mereka. Kesatuan Pelajar atau Students' Union akan diwujudkan di semua UA. Sehingga kini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah melaksanakannya dan UA yang lain sedang dalam proses pelaksanaan.”

Maszlee juga telah memutuskan untuk meraikan 5 Oktober setiap tahun sebagai Hari Akademia bagi menghargai jasa pensyarah. Inisiatif yang turut telah diperkenalkan termasuklah menjadikan Institusi Pendidikan Tinggi sebagai medan intelektual terbuka, dengan menggalakkan UA menganjurkan lebih banyak perbahasan atau dialog dengan pihak-pihak berkepentingan. Justeru, USM diminta untuk menghidupkan kembali Sudut Pidato bagi memberi ruang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk bersuara.

Katanya lagi, penetapan hala tuju pendidikan berteraskan nilai adalah sangat tepat dalam usaha menjadikan cinta sebagai teras pendidikan. Antara tiga nilai dan budaya teras yang ingin dibinakan bersama adalah cinta atau kasih sayang (love), kegembiraan atau kebahagiaan (happiness) dan saling menghormati (mutual respect).

Sesi soal jawab bersama warga USM turut diadakan untuk memberi peluang, khususnya kepada mahasiswa, dalam menyuarakan pandangan dan cadangan kepada KPM berhubung isu-isu pendidikan semasa. Ini selaras dengan hasrat KPM untuk memberi ruang, peluang dan kebebasan kepada mahasiswa dalam memberikan pandangan.

maszlee8 edited

Maszlee mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga USM atas segenap usaha yang dicurahkan bersama-sama dalam menggerakkan pendidikan tinggi negara ke tahap cemerlang di peringkat global dan memastikan bahawa Pendidikan ialah Untuk Semua, Milik Semua, Tanggungjawab Semua.

Turut hadir dalam sesi selama dua jam itu ialah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail; ahli-ahli Lembaga Gabenor Universiti; Timbalan-timbalan Naib Canselor USM; barisan pengurusan tertinggi USM; dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTA), KPM,Profesor Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin.

maszlee6 edited

Kunjungan Maszlee ke USM untuk mengadakan sesi townhall bersama warga USM itu adalah sebahagian daripada rangka lawatan kerja beliau ke Pulau Pinang dan Kedah sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan tahun 2019 kali ke-48 dari 15 - 17 Mei 2019.

  • Created on .
  • Hits: 1372

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024