USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JALINAN KASIH RAMADHAN ZAHIR KEGEMBIRAAN BUAT MAHASISWA ASNAF USM

BUKIT MERTAJAM, 15 Mei 2019 – Sejumlah 15 orang mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) asnaf berpendapatan isi rumah di bawah RM1,000 dan anak-anak yatim staf yang telah meninggal dunia menzahirkan rasa gembira apabila dipilih menerima sumbangan pakaian dan kelengkapan menjelang Hari Raya Aidil Fitri.

Program Jalinan Kasih Ramadhan anjuran Pusat Islam USM ini tampak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, apabila mengambil inisiatif membawa mereka ke pasaraya untuk memberi kebebasan memilih sendiri apa yang diinginkan.

Ketika ditemui, Pengarah Pusat Islam USM, Tuan Haji Mohammad Shukri Osman berkata tahun ini Pusat Islam memperuntukkan sumbangan Ramadhan melibatkan 10 orang mahasiswa dari kampus induk dan 5 daripada kampus kejuruteraan, termasuk ibu dan anak-anak yatim staf USM yang telah kembali ke rahmatullah.

“Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini yang mana sumbangan hanya diberikan berbentuk keperluan makanan di dalam majlis khas, tahun ini kita jelmakan melalui cara membawa mereka ke Pasaraya Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk mereka memilih dan membeli sendiri apa yang mereka inginkan,” katanya lagi.

Tambahnya, selain pakaian, mereka turut diperuntukkan sumbangan bagi membeli kuih muih dan juga pakaian untuk ibu bapa.

“Apa yang diharapkan jalinan kasih Ramadhan sedikit sebanyak mencapai matlamat yang disasarkan universiti, iaitu tanda hubungan kasih sayang sesama insan terutamanya golongan terkebawah seperti yang telah digerakkan dalam jawatankuasa aktiviti Ramadhan pada tahun ini,” jelasnya lagi.

Yang turut hadir bersama meraikan mahasiswa dan anak-anak yatim terpilih ini adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria serta warga staf Pusat Islam bagi membantu mereka memilih pakaian dan kuih muih yang dinginkan.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 989

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024