USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEROSAKAN BUAH PINGGANG AKIBAT DIABETES SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

CDH 4226 edited

USM, PULAU PINANG, 17 April 2019 – Peningkatan ketara jumlah rakyat Malaysia menghidapi kerosakan buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis yang berpunca daripada diabetes di Malaysia amat membimbangkan.

Statistik menunjukkan jumlah peratusan terkini rakyat Malaysia yang memerlukan khidmat dialisis di hospital kerajaan mahupun swasta meningkat kepada 65 peratus berpunca daripada penyakit kencing manis atau diabetes.

CDH 4256 edited

Menurut Pakar Endokrinologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, peningkatan peratusan ini amat membimbangkan pakar-pakar kesihatan di negara ini memandangkan graf jumlah rakyat Malaysia menghidapi diabetes dan obesiti semakin meningkat setiap tahun yang seterusnya menjurus kepada kerosakan buah pinggang.

“Kajian turut mendapati 50 peratus golongan kanak-kanak berumur 7 sehingga 12 tahun di negara ini menghidap gejala obesiti kerana tidak mengamalkan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang,” katanya ketika dijemput sebagai ahli panel di Forum Diabetes: “Fakta dan Mitos” di Karnival Kesihatan 2019 bersempena sambutan Universiti Sains Malaysia ke-50 tahun anjuran Pusat Sejahtera, USM bertempat di Dewan Budaya, di sini.

Tambahnya lagi, atas sebab gaya hidup kini yang tidak mengutamakan kesihatan membawa kepada peningkatan kos perubatan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan bernilai jutaan ringgit setiap tahun.

“Kebanyakan permulaan gelaja diabetes rakyat di negara ini adalah sekitar umur 30 tahun dan kini tidak mengejutkan lagi apabila pelajar di bangku sekolah turut dikenalpasti menghidapi diabetes sehingga perlu mengambil insulin sebagai rawatan,” katanya lagi.

CDH 4265 edited

Pada majlis yang sama, Pegawai Dietetik daripada Hospital Parit Buntar, Perak, Ong Bee Ean yang juga ahli panel jemputan turut menggesa rakyat Malaysia yang kini tertinggi bagi jumlah penghidap diabetes dan obesiti di Asia untuk mengubah segera dan mengamalkan corak pemakanan seimbang dan gaya hidup yang sihat.

“Rujuklah pakar dietetik yang bertauliah untuk cara pemakanan yang seimbang dan tidak hanya merujuk kepada maklumat di internet dan media sosial semata-mata, kerana kebanyakan maklumat diet yang dikongsikan melalui media tidak tepat dan tidak pernah dibuktikan melalui kajian saintifik,” jelas Ong.

Manakala Pegawai Farmasi daripada Hospital Besar Pulau Pinang, Lim Pei Ching yang juga barisan panel forum tersebut turut mengharapkan rakyat Malaysia yang telah menghidapi diabetes agar mengikut peraturan pengambilan ubat yang betul dan insulin yang dinasihatkan oleh doktor supaya ia boleh dikawal dan tidak memudaratkan.

Yang turut hadir adalah Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1286

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024