USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR SAINS KESIHATAN MENANG ANUGERAH WAKIL MALAYSIA SEMINAR DI PHNOM PENH KEMBOJA

kemboja

PULAU PINANG, 8 April 2019 – Pelajar Sarjana Muda Sains Kesihatan (Pemakanan) tahun 4 dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM Kampus Kesihatan Kelantan, Yong Zi Qing dipilih mewakili negara di The International Mine Awareness and Assistance in Mine Action Seminar di Phnom Penh Kemboja pada 4 April lalu.

Zi Qing diberikan tiket penerbangan, penginapan, makan dan elaun untuk menghadiri Seminar tersebut.

Zi Qing terpilih dalam kalangan lebih 500 permohonan yang diterima penganjur. Dari jumlah tersebut penganjur memilih 32 orang pelajar ijazah pertama berumur 18 hingga 25 tahun yang menghantar penyertaan terbaik berupa seni reka (artworks), esei, puisi, foto dan sebagainya. Tiga orang pelajar dipilih dari setiap negara ASEAN.

"Saya sangat bersyukur kerana terpilih mewakili USM dan negara kita serta mendapat tajaan sepenuhnya menghadiri seminar ini walaupun menghadapi saingan yang sangat sengit," kata Zi Qing.

International Mine Awareness And Assistance in Mine Action Seminar yang berlangsung pada 3-4 April 2019, dianjurkan oleh ASEAN Regional Mine Action Centre (ARMAC) melalui dana dari Kerajaan Norway, Kerajaan Thailand, Kerajaan Republik Ireland dan the Clearing for Results Project.

Seminar ini bertujuan mempromosikan kesedaran terhadap bahaya perang dan jerangkap samar (Explosive Remnants of War - ERW) dalam kalangan generasi belia.

"Yang paling utama ialah seminar ini menyedarkan kami tentang pentingnya keamanan, kestabilan dan mempunyai ketahanan diri," katanya lagi.

Para peserta diberi peluang melawat National Centre for Peacekeeping Forces, Mines and ERW Clearance (NPMEC) Training School for Multinational Peacekeeping Forces dan merasai sendiri pengalaman berada dalam kancah perang dan bahaya jerangkap samar.

Mereka turut melawat pusat latihan vokasional untuk mangsa jerangkap samar terutamanya Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dikendalikan oleh CMAA di samping mendengar pengalaman ahli-ahli panel forum.

Jerangkap samar masih mendatangkan bahaya di negara-negara bekas perang seperti Kemboja, Laos, Myanmar, Vietnam dan Thailand.

"Walaupun Malaysia tidak terlibat namun berada dalam seminar ini dapat menyedarkan kita tentang bahaya perang, kecederaan kekal dan konflik panjang untuk dihindari seboleh mungkin," kata Zi Qing.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1536

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024