USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JALIN KOLABORASI DENGAN PUSAT KANSER TERKEMUKA DUNIA

GEORGETOWN, 3 Mac 2019 – Dalam usaha menyumbang kepada perkembangan rawatan dan kajian kanser di Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah menjalinkan kolaborasi dengan The Christie NHS Foundation Trust (CNFT) Manchester, United Kingdom iaitu salah sebuah pusat rawatan, pengajaran dan penyelidikan kanser terkemuka dunia dan terbesar di Eropah.

Majlis penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) antara USM dan CNFT telah dilangsungkan sempena majlis perasmian 2nd AMDI International Oncology & Medical Physics Symposium (IOMPS) 2019 di sini baru-baru ini.

USM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, manakala CNFT diwakili oleh Pengarah Pendidikannya, Profesor Richard Cowan dan disaksikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

IMG_8621.JPG

 

Melalui kolaborasi ini, USM dan CNFT buat julung kalinya di Asia menganjurkan The Christie Fellow Royal College of Radiologists (FRCR) Part 2B Clinical Oncology Preparatory Course iaitu kursus persediaan untuk peperiksaan akhir kepakaran dalam bidang onkologi klinikal di United Kingdom yang bertujuan untuk memberikan persediaan dan pendedahan kepada calon sebelum menduduki peperiksaan FRCR Part 2B Clinical Oncology yang sebenar.

Kursus “The Christie FRCR 2B Preparation Course” telah diadakan di IPPT pada 27 dan 28 Februari yang lalu, dengan mendapat penyertaan seramai 15 orang peserta dari dalam dan luar negara.

Pemeriksa bagi kursus ini merupakan perunding berpengalaman dari CNFT dan pakar perunding tempatan dari Asia termasuk Malaysia yang berpengalaman dalam FRCR sebelumnya.

Ini merupakan satu pengiktirafan kepada USM khususnya dan juga kepada Malaysia amnya kerana mendapat kepercayaan pihak CNFT untuk menjadi tuan rumah kepada kursus ini.

IMG_8647.JPG

Diharapkan melalui kerjasama IPPT dan CNFT itu juga, lebih banyak kursus onkologi dapat disediakan dalam usaha melahirkan lebih ramai pakar onkologi pada masa akan datang.

Teks: Mohd Faisal Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 1035

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024