USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USMBIZ DAN FACELIFT, DUA INISIATIF BAHARU USM SEMPENA PTNC 2019

NIBONG TEBAL, 3 Mac 2019 – Perutusan Tahunan Naib Canselor (PTNC) Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan pada 1 Mac yang lalu memperkenalkan dua inisiatif baharu kepada warga Kampus Kejuruteraan yang hadir iaitu USMBiz dan Facelift.

USMBiz adalah suatu medium atas talian rasmi USM yang direka dengan ciri-ciri yang unik, selamat dan “multi-business” yang mana ia membolehkan kesemua perniagaan universiti diakses oleh pelanggan pada bila-bila masa.

Berikut dinyatakan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Perniagaan Universiti, Profesor Datuk Dr. Abdul Khalil Bin H. P. Shawkataly semasa berlangsungnya PTNC 2019 yang diadakan di Kampus Induk baru-baru ini.

“Portal yang dibangunkan ini mengandungi tujuh kunci perkhidmatan universiti iaitu Sukan, Sewaan Ruang, Perkhidmatan Profesional, Tourism@USM, Makmal, Penerbitan dan Bahan Jualan.

“Inisiatif ini merupakan komitmen universiti untuk menyediakan perkhidmatan dan produk kepada staf, pelajar dan komuniti secara efektif yang mana tempahan fasiliti universiti kini hanya di hujung jari,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama, turut diperkenalkan kepada lebih kurang 600 warga kampus yang hadir adalah projek Funding for APEX Collaboration on Excellence Learning Infrastructure and Technology atau singkatannya FACELIFT.

Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha komited USM dalam memposisikan kesemua program akademiknya secara terancang agar menjadi pilihan utama calon pelajar dan aspirasi pengalaman pembelajaran yang cemerlang dapat dijayakan berdasarkan harapan mereka melalui kaedah crowdfunding.

Selain daripada itu, inisiatif ini adalah satu wahana pemikiran semula kaedah pihak universiti untuk menyokong kecemerlangan pembelajaran, membangunkan ruang pengajaran baharu, menaik taraf dewan/bilik kuliah sedia ada kepada sebuah ruang pembelajaran yang berasaskan teknologi pembelajaran terkini dan interaktif.

Antara dasar lain yang diperkenalkan adalah Kempen ‘War on Sugar and Creamer’ yang telah mula dilancarkan di semua kampus USM pada 1 Januari 2019 dan diwujudkan bagi menggalakkan amalan minuman secara sihat semasa perbincangan-perbincangan formal universiti.

Turut sama hadir dalam PTNC 2019 Kampus Kejuruteraan adalah Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Dr. Hari Narayanan P Ondiveeran; Ahli Lembaga Gabenor universiti, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Pendaftar, Dr. Musa Hj. Ali; Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dan Penasihat Undang-undang, Dr. Khairul Anuar Che Azmi.

Teks: Siti Faizah Abd Halim

  • Created on .
  • Hits: 1198

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024