USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SENIBINA MELAYU ASLI PAMER KEINDAHAN REKACIPTA TRADISIONAL

EAM 0191

PULAU PINANG, 8 Februari 2019 – Keindahan rekacipta dalam senibina Melayu tradisional membuktikan tamadun fizikal warisan nusantara itu menjadi antara yang terhebat dalam sejarah.

Sebahagian khazanah lampau yang mencerminkan jati diri dan nilai masyarakat pada tamadun yang jauh lebih dahulu itu boleh dilihat dalam pameran Malay Architechture: The Resilience of Tradition From Origins to the Contemporary yang kini dipamerkan di Universiti Sains Malaysia (USM) sehingga 28 Februari 2019.

Koleksi pameran yang dipamerkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM itu menyerlahkan keunikan senibina Melayu atau identiti asli rantau ini yang disifatkan telah melalui evolusi, mutasi dan inovasi dengan daya tahan sepanjang abad.

Menyingkap tradisi lampau dalam bidang senibina Melayu, pelbagai keunikan dizahirkan melalui rekacipta yang menjulang masyarakat Melayu sebagai bangsa bertamadun tinggi dan mempunyai daya tahan tradisi unggul.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Hj. Abdul Rahman Hj. Abbas berkata, pameran berkenaan dapat memberi kesedaran tentang kepentingan identiti kebangsaan yang kebanyakannya menggambarkan kesatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity).

“Senibina Melayu mencerminkan agamnya dunia Melayu yang berprinsip ‘serasi’ dan ‘lestari’ iaitu bersifat accommodative - memberi ruang kepada bangsa dan budaya masyarakat lain.

“Lestari pula menggambarkan bagaimana senibina Melayu walaupun bermanifestasi dan berubah dengan zaman, namun prinsip, unsur dan nilainya kekal sama dan tidak berubah sehingga ke hari ini,” katanya.

Tun berkata demikian ketika berucap sempena merasmikan pameran berkenaan yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk USM, Universiti Islam Antarabsangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dewan Bahasa dan Pustaka serta sumbangan pelbagai pihak lain.

Antara yang dipamerkan ialah tinggalan hasil tangan pertukangan Melayu Asli termasuk tiang seri, jendela, pintu, visual rumah lama yang direstorasikan mengikut ciri asalnya dan pelbagai kisah sejarah senibina masyarakat Melayu terdahulu.

Antara yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mewakili Naib Canselor USM; Dekan Kuliyyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar UIAM, Profesor Ar. Dr. Abdul Razak Sapian; Pengarah MGTF USM, Zolkurnian Hassan, serta para pempamer, penggiat dan pencinta seni tanah air.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Ebrahim Abdul Manan  

  • Created on .
  • Hits: 1407

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024