USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MUHAMMAD NAJMI UDDIN OKU CEMERLANG MILIKI NURSERI POKOK SENDIRI

EAM 9971

USM, PULAU PINANG, 1 Februari 2019 – Seorang pelatih Orang Kelainan Upaya (OKU) Intelek, Muhammad Najmi Uddin Nasri, 20, berjaya memiliki nurseri sendiri hasil titik peluhnya selepas mengikuti Latihan Pekerjaan OKU Intelek yang dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM).


Menurut ayahnya, Nasri Awang Hamat, 52, dia sangat berterima kasih kepada pihak USM terutamanya Unit Transformasi OKU yang banyak membantu anaknya untuk memiliki nurseri yang mempunyai pokok buah-buahan dan juga bunga seluas 0.5 ekar. Di samping itu, dia juga membeli sebidang tanah berkeluasan yang sama untuk mengembangkan perniagaannya pada masa akan datang. 


“Muhammad Najmi Uddin adalah anak sulung dari lima adik-beradik dan sebelum mengikuti latihan tersebut, dia menunjukkan minat yang mendalam dalam penjagaan pokok dan tumbuh-tumbuhan sejak dari kecil lagi,” tambah ayahnya yang juga seorang guru. 


“Selama lebih kurang setahun dia mengikuti latihan di Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Kubang Kerian, Kelantan, dia menunjukkan banyak perubahan dan boleh berdikari dalam urusan penjagaan pokok-pokok di nurserinya,” tambah ayahnya lagi.


Muhammad Najmi Uddin dipilih sebagai graduan terbaik negeri Kelantan daripada sejumlah 27 graduan OKU Intelek dari negeri tersebut yang bergraduasi dalam Majlis Pengiktirafan Tamat Latihan Pekerjaan OKU Intelek USM yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Hj. Mohd Fazari Mohd Salleh.


Selain Muhammad Najmi Uddin, seorang lagi graduan yang dipilih sebagai graduan terbaik negeri Pulau Pinang adalah Muhamad Irwan Helmi Idris, 19, yang kini bekerja sebagai pembantu dapur di restoran makanan segera di Simpang Empat, Pulau Pinang.  


Muhammad Irwan, anak kedua dari empat orang adik-beradik dan mempunyai masalah dalam pembelajaran, dipilih dalam kalangan 16 graduan dari Pulau Pinang. 


Sejumlah 43 orang OKU telah diraikan di dalam majlis pengiktirafan tamat latihan, program latihan pekerjaan OKU Intelek yang diadakan di sini hari ini.

“USM telah menjalankan program latihan pekerjaan ini di USM Kampus Kesihatan, Kelantan sejak tahun 2012 dan Program Latihan Pekerjaan ini diketuai oleh saya dan dibantu oleh Penyelaras projek, Masliza Yazid,” kata Pensyarah Kanan Terapi Carakerja (Occupational Therapy), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.

“Buat pertama kalinya setelah lima tahun dijalankan di Kelantan, projek ini berjaya dikembangkan di Pulau Pinang dan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Tenaga Kerja di Kelantan dan Pulau Pinang.


“USM telah membuktikan bahawa program latihan pekerjaan yang diperkenalkan ini berkesan untuk melatih OKU bekerja dalam masa yang singkat iaitu antara 3-12 bulan dan telah mengubah kehidupan OKU intelek sehingga ada antara mereka yang menjadi sumber rezeki kepada keluarga,” tambah Mohd Zulkifli. 


Turut hadir menyaksikan kejayaan ini adalah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Dekan PPSK Profesor Dr. Norazmi Mohd Nor serta Pengasas Program Transformasi OKU dan Mantan Dekan PPSK, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria.


Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1559

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024