USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KOMITED BUDAYAKAN INTEGRITI, TOLAK RASUAH

EAM 9806

PULAU PINANG, 1 Februari 2019 – Warga Universiti Sains Malaysia (USM) bertekad untuk membudayakan integriti dalam bidang tugas dan menolak sebarang salahlaku rasuah dalam kalangan kakitangannya di pelbagai peringkat. 

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, USM sedia menjalin kerjasama erat dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) khususnya dalam memerangi rasuah yang kini adalah musuh nombor satu negara. 

“Satu ketika dulu, dadah adalah musuh nombor satu negara tetapi pada hari ini, musuh nombor satu negara adalah rasuah. 

“Justeru sebagai satu organisasi ilmu tersohor di Malaysia, kita perlu bersama-sama memenuhi tanggungjawab sosial untuk melaksanakan amanah serta kuasa yang dipertanggungjawabkan bagi memerangi rasuah demi kepentingan masyarakat sejagat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang melibatkan ketua-ketua jabatan USM dengan disaksikan oleh Pengarah SPRM Negeri Pulau Pinang, Dato' Wan Ramli Wan Abdullah di sini semalam.

Asma turut berkata, pihak Universiti telahpun menubuhkan Unit Integriti Universiti semenjak tahun 2014 yang lalu serta telah menginstitusikan Ombudsman (yang pertama seumpamanya di Malaysia) bagi memastikan perkara berkaitan rasuah tidak berleluasa di USM. 

“Saya yakin, kedua-dua unit ini amat instrumental dalam memastikan tanggungjawab sebagai ‘SPRM kecil’ di USM, selain turut menyeru semua ketua jabatan USM yang baru menerima amanah ini, agar senantiasa mematuhi dan menerapkan etika dan integriti kerja seperti yang ditetapkan oleh pihak Universiti,” ujar beliau.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1134

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024