USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SRIKANDI BERENTAP DI KEJOHANAN SUKJAB BADMINTON WANITA 2019

50843489 10158139386668496 900350532516839424 o

PULAU PINANG, 29 Januari 2019 – Seramai lebih kurang 50 orang srikandi mewakili enam zon dari Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) berentap di kejohanan sulung Sukan Jabatan (SUKJAB) Badminton Wanita 2019 bagi merebut Piala Profesor Dr. Taksiah A. Majid.

Menurut Pengarah Kejohanan yang juga pensyarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Dr. Noor Aida Saad, program sebegini berjaya mengeratkan ukhuwah staf-staf wanita di Kampus Kejuruteraan.

“Di samping itu, ianya juga telah berjaya mencungkil bakat baru dalam permainan badminton dalam kalangan wanita yang selama ini terpendam,” tambah Noor Aida.

“Kejohanan ini dianjurkan oleh Kelab Kebajikan & Sukan Staf Kampus Kejuruteraan (KKSSK) dengan galakan dan sokongan padu daripada Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dan ini memberikan suntikan semangat kepada ahli-ahli jawatankuasa dan urusetia kejohanan kali ini.

“Bimbingan dan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada kesemua exco KKSSK juga telah mendorong kejayaan kejohanan ini,” kata Noor Aida yang turut bermain dalam kejohanan tersebut mewakili Zon 4.

Kejohanan ini telah dirasmikan oleh penyumbang piala iaitu Profesor Dr. Taksiah A. Majid yang juga Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) dan telah diperkenalkan kepada kesemua pemain yang mewakili 6 zon yang merupakan gabungan pelbagai pusat pengajian dan jabatan.

Sepanjang kejohanan berlangsung, kesemua pemain yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur telah mempamerkan semangat juang yang sangat tinggi.

Zon 4 yang diwakili oleh staf PPKA, REDAC, Pusat Pengajian Bahasa, Literasi & Terjemahan serta Desasiswa Jaya telah berjaya mengungguli kejohanan kali ini dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM300, piala, hamper dan sijil.

Naib juara pula disandang oleh Zon 3 dan membawa pulang wang tunai RM200, hamper dan sijil, manakala Zon 5 dan Zon 2 masing-masing di tempat yang ketiga dan keempat dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM150 dan RM100 masing-masing.

Manakala pemenang tempat kelima dan keenam turut membawa pulang hadiah saguhati dan sijil penyertaan.

“Semoga aktiviti ini akan terus menjadi medan riadah kepada seluruh srikandi dan menjadikan gelanggang badminton tempat untuk bersaing secara sihat.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada pemain Zon 4 dan kesemua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan kejohanan kali ini,” tambah Noor Aida.

Suntingan: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Dr. Noor Aida Saad

  • Created on .
  • Hits: 1122

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024