MAJLIS PENGHARGAAN DAN PENGIKTIRAFAN UNIVERSITI: NC, TNC ANTARA 426 STAF YANG DIRAIKAN

EAM 8437

USM, PULAU PINANG, 9 Januari 2019 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dianugerahkan Anugerah Jasamu Dikenang bersama-sama dengan Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein yang masing-masing telah bersara wajib pada tahun 2018 yang lalu. 

Naib Canselor telah bersara wajib pada 15 Jun 2018 dan masih memegang jawatan Naib Canselor sehingga akhir tahun ini manakala Adnan telah tamat perkhidmatan wajib pada 30 November 2018 dan masih disambung secara kontrak bagi menjalankan tugas-tugas TNC HEPA.

EAM 8371

Turut menerima anugerah ialah TNC Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah kerana kenaikan pangkat manakala TNC Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed untuk Anugerah Sanjungan Budi yang meraikan staf yang setia berkhidmat selama 25 tahun sehingga kini. 

Mereka adalah antara 426 staf dari Kampus Induk, Kejuruteraan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) yang diraikan pada Majlis Penghargaan dan Pengiktirafan Universiti 2018 (MPPU 2018) yang merangkumi tiga anugerah utama iaitu Anugerah Sanjungan Budi seramai 35 orang, Anugerah Jasamu Dikenang (165) dan Anugerah Pengiktirafan Universiti (265).

EAM 8109

Anugerah Pengiktirafan Universiti disampaikan kepada staf yang telah berjaya dalam proses kemajuan kerjaya (kenaikan pangkat) pada tahun 2018.

Menurut Naib Canselor, kedudukan USM pada masa kini adalah kerana kerja keras kesemua staf sejak dahulu sehingga kini, di ambang USM menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-50. 

“Saya percaya usaha keras semua telah meletakkan satu asas yang begitu kukuh untuk universiti terus mara dan menempa kejayaan demi kejayaan dalam fungsinya sebagai menara ilmu yang terus relevan.

“Saya berharap dan menyarankan agar semua dapat mencari peluang dan ruang untuk berkongsi dan menurunkan ilmu kepada sesiapa sahaja ketika kita masih berkhidmat di Universiti ini,” kata Naib Canselor. 

MPPU 2018 turut memberikan anugerah kepada ahli keluarga staf yang telah meninggal dunia pada tahun lalu. 

MPPU 2018 ini diadakan buat kali ketiga sebagai inovasi pihak pentadbiran bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang dan menghargai khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh warga staf kepada Universiti.

Teks Nor Rafizah Md. Zain

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015