USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-UPB BANGUNKAN SISTEM PEMANTAUAN PERSEKITARAN MARIN BERINTEGRASI

DSC 2302

PULAU PINANG, Disember 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) bersama rakan strategik dari Indonesia, Universiti Pertanian Bogor (UPB) memperluas kerjasama melalui satu penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) yang berfokus kepada usaha mewujudkan sistem pemantauan persekitaran marin berintegrasi dengan memanfaatkan Revolusi Industri 4.0 (4IR).


USM sudah semestinya sebuah universiti yang mendokong usaha dalam memastikan kelestarian hari esok manakala UPB juga merupakan antara universiti yang terbaik dalam bidang kelestarian, dan usaha dalam membangunkan sistem ini adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan secepat mungkin.

DSC 2320


Kedua-dua USM dan UPB juga adalah antara institusi terkemuka yang meneraju penyelidikan dalam bidang sains persekitaran dan biodiversiti marin serta kelestarian.


Usaha memanfaatkan 4IR adalah bertepatan dengan perkembangan semasa dan memberi impak besar terhadap sistem pemantauan yang jauh lebih efisien dan efektif, selain membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan isu global berkaitan kesejahteraan lautan dan biodiversitinya.

DSC 2333


Majlis penandatanganan MoU berkenaan disempurnakan oleh Dekan, Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK) USM, Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Abdullah dan Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai USM (CEMACS), Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai bagi pihak USM manakala UPB ditandatangan oleh Rektornya, Dr. Arif Satria dan disaksi oleh Pengarah Pusat Kajian Sumber Marin dan Pantai, Dr. Ario Damar.

 


DSC 2343Majlis diadakan sempena perasmian The 11th IMT-GT UNINET Conference 2018 yang telah disempurnakan oleh Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin.


Persidangan IMT-GT UNINET ini adalah anjuran bersama PPSK USM dengan kerjasama CEMACS bersama rakan-rakan strategiknya iaitu Prince of Songkla University, Thailand, Universitas Utara Sumatera dan Universiti Pertanian Bogor, Indonesia.


Ketiga-tiga buah negara sentiasa komited dalam usaha memperkukuhkan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) untuk pembangunan bersama dalam semua bidang termasuk pendidikan tinggi.

DSC 2358


Turut hadir ialah Pengerusi Persidangan yang juga pensyarah PPSK, Profesor Dr. Zulfigar Yasin dan pensyarah-pensyarah dari pelbagai universiti di ketiga-tiga buah negara serta pengucaptama dan penyampai plenari.


Teks: Nor Rafizah Md Zain 

  • Created on .
  • Hits: 3335

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024