USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

XISU BAKAL HANTAR PELAJAR JABATAN BAHASA MELAYU KE USM TAHUN HADAPAN

hbju

PULAU PINANG, 23 Disember 2018 – Xi'an International Studies University (XISU), China akan menghantar pelajar-pelajarnya dari Jabatan Bahasa Melayu untuk mengikuti Program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu (PROPERBM) di Universiti Sains Malaysia (USM) pada bulan September 2019.

Demikian kata Presiden XISU, Profesor Wang Junzhe, ketika mengetuai satu rombongan yang terdiri daripada pegawai utama dan pensyarah XISU untuk mengadakan lawatan di USM baru-baru ini dengan tujuan untuk melihat dengan sendiri kemudahan dan suasana pembelajaran yang terdapat di USM.

Kata beliau lagi, program pemindahan kredit ini sebenarnya merupakan salah satu aktiviti yang dipersetujui untuk dilaksanakan bersama XISU dan USM mengikut Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada Mei 2018.

ghvh

“Selain itu, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti pertukaran pensyarah dan pelajar, penyelidikan, aktiviti pendidikan dan latihan serta penerbitan bersama.

“Saya berharap kedatangan pelajar-pelajar universiti kami akan mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua buah universiti dan kerjasama yang terjalin akan dapat melahirkan bakat-bakat yang unggul dalam pelbagai bidang,” kata Junzhe, yang turut dijemput untuk menghadiri majlis penyampaian sijil kepada pelajar-pelajar yang mengikuti PROPERBM pada semester ini.

ghvgh

Beliau dan delegasi XISU kagum dengan pencapaian prestasi pelajar-pelajar dari Guangdong University of Foreign Studies, Yunnan Minzu University dan Hainan College of Foreign Studies yang sedang mengikuti program PROPERBM di sidang akademik 2018/2019. 

Sementara itu, menurut Penyelaras PROPERBM, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong, program ini julung kali ditawarkan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) pada Sidang Akademik 2018/2019 melibatkan 27 pelajar jurusan Bahasa Melayu dari tiga buah universiti di negara China yang tersebut di atas sebagai kumpulan pertama yang mendaftar untuk program ini.

“PROPERBM menjadi sebahagian daripada usaha USM melalui PPIK dalam merealisasikan agenda pengantarabangsaan Bahasa Melayu,” kata Goh yang juga Penyelaras Bahagian Pengajian Terjemahan dan Interpretasi (BATI), Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi (UniTI), PPIK.    

jkhui

XISU merupakan antara universiti bahasa asing yang paling awal ditubuhkan di negara China. Ia juga adalah satu-satunya universiti awam di kawasan barat laut China yang menawarkan program bahasa-bahasa asing utama.

Jabatan Bahasa Melayu XISU ditubuhkan pada tahun 2016 dan mula mengambil pelajar pada tahun 2017. Kini terdapat tiga orang pensyarah termasuk seorang pensyarah warga asing dan 42 orang pelajar tempatan.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 3614

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024