USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENYAKIT TIDAK BERJANGKIT PENYUMBANG TERTINGGI JUMLAH KEMATIAN DI MALAYSIA

andrew

USM, PULAU PINANG, 13 Disember 2018 – Penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCD) direkodkan sebagai penyumbang tertinggi kepada jumlah kematian di Malaysia dengan sejumlah 113,500 kes kematian yang dicatat pada tahun 2016.

Dari segi peratusan, NCD menyumbang sebanyak 74 peratus daripada jumlah kematian yang direkodkan di Malaysia pada tahun tersebut.

Ini menjadikan populasi rakyat Malaysia kini berdepan dengan 17 peratus risiko kematian pra-matang di antara umur 30 tahun sehingga 70 tahun akibat dari NCD seperti penyakit kardiovaskular, kanser, penyakit sistem pernafasan yang kronik, diabetes, dan sebagainya.

Menurut Pensyarah Ekonomi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Andrew Tan Khee Guan, akibat dari masalah ini, kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi setiap tahun untuk kos perbelanjaan rawatan setiap penyakit yang dikategorikan dalam kelompok NCD.

"Salah satu contoh kos rawatan penyakit tertinggi yang ditanggung oleh kerajaan adalah berkaitan tabiat merokok mencecah RM3 bilion setahun. Manakala kos rawatan berat badan berlebihan atau obesiti dianggarkan berjumlah RM6.4 bilion setahun (tertinggi di ASEAN) dan kanser payudara/serviks dianggarkan berjumlah RM51.6 juta setahun,” katanya.

Jelas beliau secara keseluruhannya dalam usaha menjana pembangunan yang pesat ke arah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, Malaysia terpaksa menanggung kos kesihatan dan kos ekonomi yang amat tinggi akibat dari kurang kesedaran rakyat Malaysia berkaitan penjagaan kesihatan sehingga meningkatnya kadar kematian berkaitan NCD.

“Rawatan penyakit berkaitan NCD akan membebankan sistem penjagaan kesihatan Malaysia, malah cenderung mengalihkan sumber ekonomi yang terhad daripada perubatan pencegahan dan rawatan penyakit-penyakit berjangkit seperti kolera, denggi, malaria dan HIV/AIDS,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum pelantikan profesor di sini hari ini.

Tambah Andrew lagi, kebanyakan beban NCD dapat dielakkan dan kerugian dari segi ekonomi dapat dikurangkan jika terdapat langkah pencegahan yang sistematik pada peringkat permulaan perkembangannya.

“Merubah tingkah laku dan cara hidup yang sihat dengan pemakanan yang baik dalam kalangan rakyat Malaysia sebenarnya asas kepada pengaruh sosioekonomi negara ini dan ia mampu membantu mengurangkan beban kerajaan Malaysia menanggung kos perbelanjaan yang tinggi kepada perkara ini,” jelasnya lagi.

Beliau yang turut pakar dalam pelbagai bidang ekonomi seperti Mikroekonomi, Ekonomi Pengeluaran dan Pertanian, dan Matematik untuk Ahli Ekonomi turut menyentuh isu-isu berkaitan diabetes yang kini Malaysia antara pengidap tertinggi diabetes di rantau Asia Tenggara dengan jumlah 3.6 juta pengidap.

andrew

“Apa yang membimbangkan juga, masalah obesiti di Malaysia perlu diberi perhatian memandangkan Malaysia berada di kedudukan pertama di antara negara-negara Asia Tenggara dengan 44.2 peratus, kedua Thailand 32.2 peratus dan ketiga Singapura dengan 30.2 peratus. Ini sekaligus menyebabkan Malaysia saban tahun bakal menanggung kos ekonomi yang tinggi akibat dari kurang kesedaran rakyat Malaysia tentang penjagaan kesihatan,” tegas beliau.

Yang turut hadir ke majlis adalah Mantan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Dato’ Dr. Muhamad Jantan; Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Dr. Azlinda Azman; Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Mantan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Tuan Haji Abdul Rahim Ibrahim.

Turut menyampaikan syarahan umum bersama Profesor Dr. Andrew Tan Khee Guan adalah Profesor Dr. Chin Yee Whah yang menyampaikan syarahan umum bertajuk Keusahawanan Etnik Cina Malaysia: Kerajaan, Budaya dan Globalisasi.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 4825

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024