MANFAATKAN TEKNOLOGI DIGITAL SECARA KREATIF DAN INOVATIF UNTUK KEBAIKAN MANUSIA

USM, PULAU PINANG, 13 Disember 2018 – Pembangunan dan penyelidikan teknologi digital media yang semakin diberi perhatian oleh institusi pendidikan tinggi mahupun industri seharusnya diguna dan dimanfaatkan untuk kebaikan manusia bukan memberi masalah yang memberi implikasi negatif kepada pengamalnya.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, dalam kita menuju ke arah revolusi industri 4.0, pelbagai perkara diperkatakan berkaitan teknologi digital seperti robotik, automasi digital dan sebagainya yang datangnya dari hasil ciptaan manusia, tetapi adakah ia memberi impikasi baik atau sebaliknya kepada manusia.

“Teknologi yang dikecapi kini telah membuatkan kita lupa yang ia telah mengawal kita secara tidak sedar sehingga akhirnya manusia sudah mula hilang interaksi dan ukhwah malah mengikis peranan serta bakat semulajadi manusia yang seharusnya digunakan untuk kebaikan bersama umat manusia,” katanya.

Jelasnya, sudah tiba masanya tenaga pakar seperti ahli akademik, penyelidik, pendidik, siswazah, pembangun web dan pengamal teknologi digital sedar tentang perkara ini dan mencari pendekatan terbaik melalui teknologi digital untuk kembalikan perkara baik yang telah ditinggalkan akibat daripada teknologi ini.

“Cabaran untuk anda semua yang arif di dalam teknologi digital adalah mencari dan mencipta sesuatu yang baharu yang bukan sahaja bercakap mengenai teknologi digital untuk pendidikan dan cara menggunakannya, tetapi binalah platform secara kreatif dan inovatif bagi kembalikan interaksi antara manusia dan manusia melalui teknologi digital sedemikian,” ucapnya ketika merasmikan International Conference on Creativity, Innovation and Invention in Digital Technology (CIIDT 2018) anjuran Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), USM di sini baru-baru ini.

Tambahnya lagi, melalui persidangan antarabangsa ini wajar dibincangkan kualiti teknologi digital yang hakikatnya masih belum mampu diakses oleh semua pelusuk manusia di dunia ini.
 
“Kita bercakap mengenai penyelidikan yang sepatutnya ditambahbaik bagi meningkatkan kualiti teknologi digital semasa, tetapi adakah kita tahu bahawa daripada 7.6 bilion manusia yang ada di dunia ini, sejumlah 4 bilion manusia masih tiada akses kepada teknologi internet yang kita kecapi kini dan ada yang langsung tidak berpeluang untuk merasai kebolehgunaan teknologi digital dalam kehidupan seharian mereka,” katanya lagi.

Jelas Asma lagi, atas sebab itulah penganjuran persidangan ini seharusnya mencari pendekatan terbaik mengatasi masalah ini agar ia mampu menjadi strategi lautan biru untuk para cendiakawan dan penyelidik mencipta sesuatu yang baharu agar teknologi digital membawa kebaikan buat manusia keseluruhannya.

Persidangan selama tiga hari ini yang bertemakan “Rising to the Full Potential of Digital Technology” tahun ini disertai ahli akademik, pendidik sekolah, penyelidik dan pelajar, pembangun web dan pengamal teknologi digital dari Thailand, Indonesia, Korea, Jepun, Malaysia dan beberapa lagi negara rantau Asia.

Tumpuan perbincangan dan pembentangan kertas kerja berkisar pada topik-topik yang hangat diperkatakan pada hari ini termasuk pentingnya kreativiti dan inovasi dalam teknologi digital; aplikasi teknologi digital dalam STEM; teknologi termaju dalam memperkasa pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan; dan juga trend/hala tuju masa depan teknologi digital.

Antara yang turut hadir ialah Pengarah PTPM USM, Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya selaku Penasihat CIIDT 2018; Pengerusi CIIDT yang juga pensyarah PTPM, Dr. Chau Kien Tsong; serta pembentang-pembentang ucaptama dan plenari.

Rakan strategik PTPM yang turut memberi kerjasama dalam persidangan ini ialah National Institute of Technology Kagawa, Jepun; Silpakorn University, Thailand; and Universitas Negeri Medan, Indonesia.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015