PENDIDIKAN MATEMATIK BERMANFAAT BAGI PARA PENDIDIK

mathtech

PULAU PINANG, 12 Disember 2018 – Sebagaimana yang diketahui, subjek Matematik memainkan peranan yang penting dalam perkembangan pelbagai bidang penyelidikan lain.

“Perkembangan berterusan dalam penyelidikan berkaitan matematik menjadi semakin penting selaras dengan peningkatan penyelidikan dalam bidang lain seperti Fizik, Kimia, Ekologi malah bidang Pengurusan dan Kewangan sekalipun,” kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail sewaktu upacara perasmian Persidangan Antarabangsa Sains Matematik dan Teknologi 2018 (MathTech 2018) di sini baru-baru ini. 

“Di sini perlu ditekankan juga, di sebalik perkembangan setiap penyelidikan, adanya peranan penting pendidikan bidang Matematik di pelbagai tahap, dan ini membuktikan keperluan pendidikan Matematik yang boleh dimanfaatkan oleh para pendidik, khususnya guru, dalam meningkatkan kemahiran profesional mereka,” tambah beliau.  

“Perkembangan dalam bidang Matematik sepanjang dekad ini adalah suatu perkara yang menarik dilihat dan saya berpuas hati dengan usaha Pusat Pengajian Sains Matematik USM dalam menganjurkan persidangan ini.”

Sewaktu berlangsungnya MathTech 2018, STATWORKS Group, syarikat terkemuka di rantau Asia dalam bidang Analisis Pengkomputeran memperkenalkan platform sains data pintar untuk pendidikan, dikenali sebagai Local Cloud Data Science for Education atau PERCEPTRON.  

Menurut Ketua Pegawai Teknologi STATWORKS Group, Rohini Sooriamoorthy, ‘Data Science Platform’ ini telah menjadi sebutan sejak 2017 di pasaran Asia, tetapi ketika itu ramai yang masih kurang memahami apa yang dikatakan sebagai platform sains data, apakah sifat-sifatnya dan kenapa sesebuah organisasi perlu memilikinya. 

Masa kini, ia adalah antara trend teknologi yang baru muncul, bukan hanya di Asia tetapi juga di serata dunia, dengan unjuran peningkatan yang mendadak sertai bernilai tinggi menjelang tahun 2020. 

“’Statworks PERCEPTRON - Data Science Platform’ mengandungi pelbagai peranti yang diperlukan bagi melaksanakan tugas analisis pelbagai fasa seperti ‘data ingestion’, ‘integration’ dan ‘exploration’ serta ‘model development and deployment’. 

Platform sains data ini mampu membantu pakar-pakar data meningkatkan tahap analisis mereka dari segi pelaksanaan, pengesanan, penghasilan semula, perkongsian dan mengatur model-model analisis dengan lebih pantas dan berkesan. Platform sains data terbaik mampu berfungsi secara fleksibel dan mudah diskalakan,” tambah beliau. 

MathTech 2018 yang berlangsung dari 10-12 Disember, berjaya menarik penyertaan hampir 250 orang peserta dari lebih 15 buah negara serata dunia dengan tujuan berkongsi ilmu, kepakaran, pengalaman dan hasil penyelidikan berkaitan bidang matematik. 

Turut hadir dalam upacara perasmian ini ialah suami kepada Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria; Dekan Pusat Pengajian Sains Matematik USM, Profesor Dr. Hailiza Kamarulhaili @ Harun; Pengerusi Persidangan, Dr.Yazariah Mohd Yatim; para pembentang ucaptama dan peserta MathTech 2018.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin / Foto: Moh Fairus Md Isa 

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015