USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIGA FAKTOR PENTING TINGKAT PRODUKTIVITI PERKHIDMATAN AWAM

usmdpu1

PULAU PINANG, 17 Jan. 2013 – Tiga perkara asas dikenalpasti menjadi penggerak kepada peningkatan produktiviti perkhidmatan awam iaitu gaji, keselamatan kerja dan motivasi berbentuk penghargaan dan insentif kepada prestasi tinggi yang ditunjukkan.

Pakar dalam bidang pengurusan pentadbiran awam merangkap akademia dari Indiana University, Amerika Syarikat, Profesor James L. Perry berkata, keseimbangan dalam tiga perkara penting itu perlu diberikan penekanan secara lebih komprehensif.

Katanya, sektor perkhidmatan awam perlu berperanan membina satu struktur yang efisien dalam pembangunan negara yang dapat menyuntik motivasi bagi memastikan sektor awam sentiasa dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

``Asas pertama, pengiktirafan kerajaan kepada kejayaan-kejayaan individu dalam menghubungkan perkhidmatannya kepada masyarakat termasuk memberikan kepercayaan kepada individu atau organisasi yang telah berjaya untuk terus cemerlang.

``Selian itu, struktur gaji sedia ada sekarang perlu dikaji supaya keberkesanan dalam perkhidmatan awam dapat direalisasikan, selain turut menyumbang kepada usaha memberi jaminan kepada keselamatan kerja kepada penjawat awam,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan syarahan bertajuk  “Motivational Foundations for Productive Public Service in the 21st Century” di sini hari ini. Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Razak School of Goverment, Dr. Hamidin Abdul Hamid.

Turut tersenarai ialah pegawai-pegawai utama Universiti dan delegasi rakan strategik USM dari Australia, University of Western Australia dan Murdoch University.

usmdpu2

James turut menegaskan, asas ketiga yang tidak kurang penting adalah dalam memberi motivasi berbentuk penghargaan atau ganjaran terhadap prestasi penjawat awam yang berjaya memberi impak tinggi kepada perkhidmatannya.

Pun begitu ujar beliau, insentif yang diberikan perlu diteliti supaya tidak ada yang merasakan diri mereka tertinggal berbanding orang lain, yang disifatkan boleh dicapai melalui penghargaan yang tidak sekadar berorientasikan kepada kewangan.

``Antara insentif yang dilihat kurang pada kos tapi tinggi pada nilainya adalah berbentuk penganugerahan cuti ganjaran perkhidmatan, cuti belajar, latihan khusus dan sebagainya yang pada akhirnya dapat memberi nilai tambah kepada individu untuk terus cemerlang,’’ katanya.

James turut terkenal dalam pencapaiannya meneraju pelbagai jawatan dalam sektor awam, selain turut menjalankan banyak kajian dalam bidang kepakarannya, termasuk yang berfokus kepada gaji dalam sektor awam, motivasi perkhidmatan awam, khidmat negara dan komuniti serta pelbagai lagi.

Sehingga kini, beliau juga telah mendapat pelbagai pengiktirafan termasuk menerima anugerah khas Charles H. Levine Memorial Award for Excellent in Public Administartion dan Yoder-Heneman Award for Innovative Personnel Research.

Dalam pada itu, Omar pula menegaskan, syarahas khas anjuran USM melalui pusat Pusat Inovasi & Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) itu menjadi permulaan kepada kolaborasi khusus dengan rakan strategik dalam dan luar negara untuk menggerakkan peningkatan produktiviti perkhidmatan awam.

Katanya, PIPPA telah merangka pelbagai agenda yang diharap dapat mencetus kepada proses transformasi dalaman sebelum diteruskan untuk membantu kerajaan dalam program transformasi kerajaan melalui proses penambahbaikan dalam perkhidmatan awam.

``PIPPA akan memberi perkhidmatan dan latihan kepada sektor awam dan sektor separa awam di Malaysia yang seiring dengan matlamat mewujudkan satu ters perkhidmatan awam yang mendapat tanda aras tinggi dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

``Pusat perkhidmatan ini juga akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk INTAN, Razak School of Goverment dan rangkaian-rangkaian lain untuk program jangka panjang yang diharap dapat memberi semangat dan suntikan motivasi kepada penjawat awam,’’ ujarnya.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 4550

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024