USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, IAIN BENGKULU PERKUKUH KERJASAMA PENYELIDIKAN DAN TENAGA PAKAR

IMG 0037

USM, PULAU PINANG, 4 Disember 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus melebar jaringan kerjasama antarabangsa apabila menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Institut Agama Islam Negeri Bengkulu (IAIN Bengkulu), Indonesia di sini pagi ini.

IAIN Bengkulu Indonesia merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi berasaskan pendidikan tinggi agama bakal berkolaborasi bersama USM di dalam pertukaran tenaga pakar iaitu staf dan juga mahasiswa bagi usaha mempertingkatkan akademik dan penyelidikan kedua-dua institusi berkenaan.

IMG 0021

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, USM  sentiasa mengalu-alukan kerjasama peringkat antarabangsa seperti dengan IAIN Bengkulu, Indonesia kerana ia mampu melonjak perkongsian pengetahuan, bakat dan kepakaran yang bukan sahaja memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua institusi, malah kepada masyarakat dan negara.

“Saya berharap jalinan kerjasama ini akan diperkukuh dan diperkasa melalui Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai ini, sekaligus memberikan impak dan kualiti terbaik dalam akademik dan penyelidikan termasuk meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa peringkat ijazah pertama dan ijazah tinggi,” katanya.

Tambah Asma, USM sangat menghargai nilai persefahaman dan hubungan rapat yang telah terjalin dengan rakan-rakan strategik di seluruh dunia apatah lagi negara-negara jiran terdekat seperti Indonesia yang amat akrab dalam hubungan kolaborasi.

IMG 0029

“Komitmen kedua-dua insititusi melibatkan pertukaran pelajar, ahli akademik, penerbitan akademik dan maklumat ilmiah selama tempoh perjanjian empat tahun ini, saya yakin akan menyumbang kepada kemajuan akademik dan penyelidikan serta memupuk pemahaman budaya yang lebih baik di antara USM dan IAIN Bengkulu.”

Pada majlis yang sama, Rektor IAIN Bengkulu, Profesor Dr. H. Sirajuddin M berkata, dengan bantuan dan kerjasama USM yang antara universiti terbaik di Malaysia, diharap mampu mentransformasikan IAIN Bengkulu menjadi  sebuah Universiti Islam yang berprestij di Indonesia dengan penyediaan program-program berkualiti dalam pelbagai bidang.

“Sememangnya banyak yang perlu dan ingin IAIN Bengkulu pelajari dari pihak USM yang sudah berpengalaman luas dan berada pada kedudukan tersendiri di peringkat global, dan kami melihat ini sebagai penghormatan yang tinggi kerana penerimaan USM untuk berkolaborasi bersama IAIN Bengkulu,” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, kerjasama ini akan diperluas pada masa mendatang untuk merangkumi bukan sahaja bidang Pendidikan Islam tetapi juga dalam bidang Sains, Sastera dan Seni.

IMG 0039gh

Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Profesor Dr. Hairul Nizam Ismail; Pengarah Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) USM, Dr. Muhizam Mustafa; Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) USM, Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk; Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) USM, Profesor Madya Dr. Zakaria Bahari; Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa dan Pusat IELTS IAIN Bengkulu, Reko Serasi dan empat orang lagi delegasi IAIN Bengkulu.

Teks: Nurul Huda Abdullah/Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1671

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024