USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JERRY DINOBAT TOKOH SISWA USM 2018

QK4A7998

PULAU PINANG, 4 Disember 2018 – Pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), Universiti Sains Malaysia (USM), Jerry Yacob, 24, dinobatkan sebagai Tokoh Siswa USM hari ini di Majlis Persada Kencana (MPK) 2018.

“Saya dedikasikan kemenangan ini kepada ibu dan bapa saya yang berterusan menyokong saya dalam pembelajaran dan juga memberikan kebebasan kepada saya untuk meneruskan minat dalam bidang kebudayaan terutamanya tarian,” kata Jerry yang turut sebak memaklumkan ibunya kini sedang berada di hospital.

QK4A8008

“Minat saya dalam bidang kebudayaan ini timbul ketika di sekolah menengah lagi dan ketika menjejak kaki ke USM, saya kembangkan lagi bakat saya dan berpeluang mewakili USM dalam persembahan dan pertandingan di dalam dan luar negara termasuk Australia, Thailand dan Indonesia.

“Saya bersyukur tahun ini saya dinobatkan sebagai Tokoh Siswa, bukan mudah untuk saya seimbangkan pembelajaran dan juga kokurikulum malah saya pernah melalui saat getir dalam pembelajaran.

QK4A7989

“Namun, segalanya kembali dalam landasan yang betul dan saya disenaraikan sebagai penerima anugerah Dekan untuk dua semester berturut-turut,” tambah anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada USM yang tercinta terutamanya untuk warga Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Adikarma, PPBLT serta seluruh warga USM yang menyokong saya selama ini,” kata Jerry yang berpegang kepada moto ‘Cemerlang dalam akademik, Unggul dalam kemahiran’.

Jerry yang cemerlang dalam akademik dan juga bidang kebudayaan turut mewakili USM dalam pasukan debat serta menyandang jawatan Yang Dipertua Adikarma USM.

QK4A8016

Beliau turut diberikan Anugerah Kepimpinan Pelajar bagi ketegori Kebudayaan dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300 serta trofi manakala RM500 dan trofi untuk Anugerah Tokoh Siswa.

Anugerah disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail. 
 
Jerry juga adalah antara para penerima anugerah MPK 2018 dalam pelbagai kategori termasuk Anugerah Tesis Terbaik, Anugerah Sanggar Sanjung, Hadiah Sanjungan, Anugerah Keusahawanan Pelajar dan Anugerah Pelajar Ijazah Tinggi Terbaik.

MPK adalah acara tahunan Institut Pengajian Siswazah (IPS) dan juga HEPA bagi mengiktiraf pencapaian pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda dan juga Ijazah Tinggi dalam pelbagai bidang.

QK4A7983

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor, HEPA Profesor Dato’ Dr Adnan Hussein; Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dan juga Dekan IPS, Profesor Dr. Rozman Hj Din.

Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Alif Ismail

  • Created on .
  • Hits: 1802

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024