USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

250 PASUKAN BERENTAP DI PESTA HOKI USM-PENANG INTERNATIONAL KE-45

QK4A7349

PULAU PINANG, 29 November 2018 – Pesta Hoki USM-Penang International buat kali ke-45 membuka tirai pertandingan  apabila 250 buah pasukan melibatkan 2,800 pemain bakal berentap merebut kejuaraan edisi tahun ini di Universiti Sains Malaysia (USM).

Melibatkan 12 kategori bermula kategori bawah 12 tahun sehingga kategori veteran, setiap pasukan bakal memulakan persaingan selama tiga hari di Padang Minden dan Padang Hoki USM.

Yang lebih menarik edisi ke-45 ini ialah ia turut menarik penyertaan 20 buah pasukan antarabangsa yang bakal berentap bersama pasukan tempatan, iaitu Sri Lanka, Taiwan, India, Pakistan dan Brunei.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein, menjadi tradisi universiti meraikan semua yang terlibat dalam pesta hoki buat tahun ke-45 ini yang berjaya melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa dengan jayanya.

"Selari dengan menggalas hasrat universiti menyokong #USMFIT, penganjuran aktiviti sebegini diharap mampu mengajak warga kampus dan orang ramai sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat di dalam komuniti," katanya ketika berucap mewakili Naib Canselor USM merasmikan Majlis Makan Malam Pesta Hoki USM-Penang International ke-45.

Tambah beliau, pesta hoki juga mampu membina jaringan antarabangsa sekaligus memberi impak besar kepada negara dalam mencungkil bakat baharu bagi mewakili negara pada satu masa nanti.

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada 14 penaja didahului dengan penaja utama Nestle Milo dan OBO yang sudi menaja bagi menjayakan pesta hoki USM pada tahun ini," jelasnya lagi.

Yang turut hadir adalah Pemangku Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Munir Che Muhamed; Penasihat Sukan USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Hj. Zakaria; Pengerusi Pesta Hoki USM-Penang International ke-45, Jonathan David dan Mantan Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Muhamad Mohd. Hanif.

Turut diraikan sejumlah 300 orang ahli sekretariat terdiri daripada mahasiswa USM yang bakal membantu universiti sepanjang pesta hoki berlangsung.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1205

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024