USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LIMA ASAS PERKUKUHKAN PENGAJIAN ISLAM

usmislam2

PATTANI, 15 Jan.2013 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Omar Osman hari ini menyeru institusi-institusi yang menawarkan pengajian Islam mahu pun institusi pengajian tinggi lainnya untuk bekerjasama dalam menjadikan pelbagai disiplin ilmu dapat digabung bersama untuk terus relevan dan berguna kepada ummah.

"Dalam era globalisasi ini, pengajian Islam tidak boleh terasing daripada pengajian tinggi seluruhnya malah perlu dilihat dalam perspektif kaitan yang sangat rapat dengan realiti khususnya pembangunan sosio-ekonomi dan politik semasa," kata Omar.

Jelasnya, pengajian Islam perlu membangunkan kekuatan secara holistik dalam bidang-bidang transdisiplin yang baharu dengan mengambil kira konsep jurus pandang Islam, konsep-konsepnya, kaedah metodologi penyelidikan, sistem dan masyarakat seluruhnya.

Lima perkara ini dikupas dan dijelaskan melalui pembentangan bertajuk "Pillarising Islam in Trans-Disciplined Islamic Studies" di 2nd International Islamic Studies - Islamic Studies in a Changing World: Challenges and Opportunities yang berlangsung selama dua hari mulai semalam yang dianjurkan oleh College of Islamic Studies, Prince of Songkla, Kampus Pattani, Thailand.

Menurut Omar, pengajian Islam perlu berkembang dari jurus pandang Islam atau tasawur yang berteraskan epistemologi Islam. Ini diikuti oleh keperluan untuk melihat semula dalam konteks Islam segala konsep yang berwadahkan barat dalam merealisasikan transdisiplin Pengajian Islam.

"Perkara ketiga ialah untuk kita melihat metodologi penyelidikan yang dibuat perlu keluar daripada kaedah konvensional. Malah trans-disiplin pengajian  Islam seharusnya menekankan kepada pengukuhan setiap sistem yang wujud dalam konteks Islam," kata Omar.

Yang kelima ialah pada akhirnya usaha yang dilakukan ini seharusnya berupaya untuk membangunkan umat Islam seluruhnya.

usmpattani

Menjawab pertanyaan seorang peserta tentang bagaimana untuk memastikan penyelidikan pengajian Islam diiktiraf dalam Indeks Sitasi Antarabangsa untuk memastikan kedudukan baik institusi pengajian tinggi Islam di peringkat antarabangsa, Naib Canselor USM menyeru agar penekanan diberikan lebih kepada memastikan bidang dan apa yang dikaji itu sentiasa relevan dan memberi faedah kepada umat Islam seluruhnya.

"Penyelidikan yang dibuat seharusnya dalam membangunkan ummah pada masa hadapan, memberi faedah kepada umat Islam, memberi impak serta menjadikannya sebagai model sepanjang zaman.

``Ia juga perlu sentiasa menjunjung keluhuran prinsip dan nilai-nilai Islam dan kerana itu kepentingan serta niat terhadap usaha yang dibuat perlu jelas tatkala timbul hasrat untuk menjalankan sesuatu penyelidikan," jelasnya.

Beliau menekankan kepada peserta bahawa yang utama ialah untuk umat Islam terutamanya dalam kalangan universiti dan institusi pengajian mempunyai kekuatan untuk membina nilai-nilainya sendiri dalam konteks Islam dan bukannya hanya menurut sistem mahu pun nilai yang ditekankan oleh orang atau pihak lain.

Omar kemudian ditemuramah oleh pemberita televisyen satelit Thailand White Channel untuk menjelaskan tentang pembentangan beliau.Teks/Foto:Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 2438

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024