USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HULUR BANTUAN PERSEKOLAHAN KEPADA PELAJAR SEKOLAH TERPILIH

DSC 1234

PULAU PINANG, 15 November 2018 – Sejumlah 30 orang pelajar sekolah rendah tahap satu dan dua terpilih menerima bantuan persekolahan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) bagi meringankan beban perbelanjaan persekolahan yang ditanggung ibu bapa menjelang sesi persekolahan pada tahun hadapan.

Sumbangan oleh Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB), USM mensasarkan tujuh buah sekolah iaitu  Sekolah Kebangsaan Perempuan Island, Methodist Girls School, Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Keong Hoe, Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Jalan Sungai, Sekolah Kebangsaan Batu Lanchang dan Sekolah Kebangsaan Jelutong (Barat) bagi menerima bantuan tersebut.

DSC 1182

Menurut Dekan GSB, USM, Profesor Dr. Azlan Amran, program ini merupakan antara projek jaringan komuniti anjuran Kelab Alumni, GSB dengan menyediakan set kelengkapan sekolah termasuk pakaian seragam, kasut dan beg sekolah serta keperluan alat tulis.

“Kelab ini telah membangunkan Dana Kemanusiaan GSB sejak tahun 2011 bagi menyediakan sokongan dari segi bantuan pendidikan setiap tahun kepada pelajar-pelajar dari keluarga yang dikenal pasti pihak sekolah kurang berkemampuan,” katanya.

Jelasnya lagi, dengan keadaan ekonomi sekarang ini sekurang-kurangnya ia dapat membantu meringankan beban ibu bapa bagi menampung keperluan pelajar-pelajar memulakan sesi persekolahan tahun hadapan.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Presiden Alumni GSB, Dr. Yuvaraj Ganesan yang mengelola aktiviti ini dan sumbangan ini juga keperihatinan daripada staf akademik, bukan akademik dan juga staf sokongan daripada Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan,” katanya di sesi sumbangan barangan keperluan tersebut kepada pelajar-pelajar terlibat di sini pagi ini.

DSC 1222

Turut hadir adalah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jelutong (Barat), Nor Azmah Johari; staf-staf akademik dari Kelab Alumni GSB serta guru-guru yang mewakili sekolah terlibat.

Pada majlis yang sama, Nor Azmah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kelab Alumni GSB USM atas khidmat bakti komuniti yang dilaksanakan untuk membantu golongan yang memerlukan.

DSC 1211

“Saya amat terharu dan bersyukur dengan bantuan yang lengkap ini dapat disalurkan kepada pelajar-pelajar tersebut yang sedikit sebanyak dapat mendorong dan memotivasikan mereka untuk belajar dengan bersungguh-sungguh seperti yang diharapkan,” katanya.

Beliau turut berharap program bermakna seperti ini dapat diteruskan pada tahun hadapan demi kesejahteraan golongan pelajar yang amat memerlukan bantuan keperluan persekolahan.

Teks: Nurul Huda Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1642

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024