USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERKUKUH NILAI PENDIDIKAN-NC

usmpeyatem 2

PULAU PINANG, 14 Jan. 2013 – Pendidik disaran suapaya lebih menumpukan kepada usaha memperkukuhkan nilai pendidikan dan kembali kepada tujuan utama untuk melahirkan individu yang dapat merasai ilmu dan berperanan sebagai orang berilmu.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Omar Osman berkata, sistem pendidikan pada hari ini dilihat lebih berfokus kepada usaha melahirkan mereka yang berupaya untuk bersaing dalam dunia pekerjaan yang begitu kompetetif.

Katanya, fokus tersebut perlu ditambahbaik dengan usaha menghasilkan mereka yang ada nilai yang  luhur dan jati diri yang  kukuh, yang akhirnya dapat membantu mereka sampai ke puncak kecemerlangan dalam pelbagai aspek.

``Pandai sahaja tidak memadai tetapi kalau mereka tidak tahu cara menghormati orang tua atau sesiapa sahaja di sekeliling tidak ada maknanya. Nilai yang luhur dan jati diri perlu dibentuk dan disemai melalui pendidikan berpanjangan,’’ ujarnya.

Beliau  berkata demikian dalam ucapannya ketika membentangkan ucaptama bertajuk Mendidik Dengan Qalbu dalam Seminar Mentransformasi Kebajikan Anak Yatim anjuran Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) dengan kerjasama beberapa pihak termasuk USM di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, Qalbu disifatkan sebagai hati, pusat segala perasaan batin atau qalbu zakiah (hati yang suci murni) adalah amat penting dalam mewujudkan satu sistem pendidikan yang dapat melahirkan individu-individu yang cemerlang keseluruhan.

Katanya, kecemerlangan melalui proses pendidikan yang berlaku dan dilakukan perlu bersifat menyeluruh, holistik dan dengan ekosfera yang saling berkait di antara satu sama lain.

``Ini bermakna proses pendidikan dapat berganjak dari keadaan ‘pemikiran’ (idealisme) kepada tindakan-tindakan yang dapat menghasilkan mereka yang mampu untuk berfikir dan bermain dengan kreativiti dan inovasi yang memacu kecemerlangan.

``Berasakan kepada perkara tersebut juga, maka matlamat mendidik dan proses pendidikan  yang dilaksanakan juga mestilah mendapatkan barakah, yang hanya boleh dicapai apabila cara dan kaedah dan natijahnya juga betul,’’ katanya.

Dalam pada itu, seminar yang bertujuan untuk memperkasa pembinaan sahsiah dalam kalangan anak-anak yatim itu disertai oleh 150 peserta dalam kalangan pengusaha rumah-rumah kebajikan anak yatim dari seluruh negara.

usmpeyatem1

Majlis makan malam untuk meningkatkan ukhwah dan silaturrahim sesama peserta sempena program tersebut juga telah dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Abbas.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa

  • Created on .
  • Hits: 2291

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024