USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TERIMA KASIH YAYASAN USM!

EAM 1596

PULAU PINANG, 8 November 2018 – “Tiada apa lagi yang mampu saya ungkapkan selain terima kasih kepada Yayasan Universiti Sains Malaysia (Yayasan USM) atas sumbangan komputer riba pada hari ini sekaligus dapat menggantikan komputer riba saya yang terbakar baru-baru ini,” kata pelajar tahun akhir, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Nurul Asyiqin Mohd Shafiee. 

“Saya sangat sayangkan komputer riba lama tersebut yang saya beli menggunakan insentif semasa latihan amali saya di sebuah syarikat. 

“Alhamdulillah, dengan bantuan ini saya tekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan meneruskan kecemerlangan dalam pengajian serta membantu keluarga saya,” tambah Nurul Asyiqin, 23, yang berasal dari Batu Kurau, Perak. 

Nurul Asyiqin adalah antara 11 pelajar USM yang menerima bantuan komputer riba yang disumbangkan oleh Yayasan USM hasil sumbangan para dermawan bagi tahun 2018. 

Anak sulung dari tiga beradik ini adalah cahaya mata seorang pesara askar yang kudung sebelah kaki kerana terkena periuk api dan seorang surirumah yang tiada punca pendapatan. 

Nurul Asyiqin juga menanggung adiknya yang baharu sahaja mendaftar pengajian tahun satu di USM sebelum menerima pinjaman. Seorang lagi adiknya baru sahaja tamat pengajian di peringkat diploma dan sedang mencari pekerjaan. 

Pada majlis yang sama, turut menerima bantuan ialah Ahmad Rashidul Amin Ruslan, pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan. 

Menurut Ahmad Rashidul Amin, sumbangan komputer riba ini sangat membantu saya dalam urusan pengajian kerana sebagai seorang bakal guru, ianya sangat membantu dalam menyediakan Bahan Bantuan Mengajar (BBM) serta melaksanakan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. 

“Sebelum ini saya hanya menggunakan komputer riba yang dipinjamkan oleh bapa saudara saya,” tambah Ahmad Rashidul Amin, 23, yang berasal dari Kelantan. 

Anak sulung dari lima beradik ini juga turut bertekad untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang serta bekerja dan membantu adik-adik yang masih kecil.  

Kedua-dua pelajar ini adalah sebahagian daripada lebih 120 penerima sumbangan dari 8 Tabung Yayasan USM dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan juga Pengarah Yayasan USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Mahyuddin Ramli. 

Turut menerima sumbangan ialah 92 pelajar dalam golongan B40, Pertubuhan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah, Patient Heart Fund, Children’s Protection Society dan juga Ruzita Mohamed Yusof yang mempunyai 5 orang anak dan seorang suami yang kurang upaya. 
 
Teks: Nor Rafizah Md Zain

  • Created on .
  • Hits: 1382

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024