DR. HARI NARAYANAN DILANTIK PENGERUSI LGU USM

43029694 1975025212558502 1956542222497218560 n

PULAU PINANG, Oktober 2018 – Bekas Pengarah Urusan Motorola Solution (M) Sdn. Bhd., Dr. Hari Narayanan P Ondiveeran dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 1 Oktober lalu sehingga 30 September 2021.

Beliau yang sebelum ini juga adalah ahli LGU USM kini diberi amanah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meneraju USM ke arah pencapaian akademik serta kemajuan organisasi yang lebih cemerlang dan terbilang.

Kepimpinan dan pengalaman beliau yang bertanggungjawab dalam operasi Motorola selama lebih 25 tahun disifatkan dapat membantu meningkatkan keternampakan (visibility) Universiti, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

Graduan kelas pertama dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal dari Manchester Metropolitan University (1982), United Kingdom itu kemudiannya menyambung pengajian dan memperoleh ijazah kedoktorannya (Ph.D) pada tahun 1985 dari University of Manchester (UMIST).Beliau turut mempunyai pengalaman sebagai akademia di UMIST sebelum memulakan perjalanan kariernya bersama Motorola sejak 1992 sehingga ke hari ini.

Selain beliau, KPM turut melantik empat lagi ahli LGU yang baharu termasuk Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor; Profesor Dr. Syed Farid Al-Attas (National University of Singapore); Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (Lembaga Tabung Haji) dan Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Johan Mahmood Marican.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr. Hari Narayanan bersama empat ahli LGU baharu yang telah diberikan kepercayaan untuk membantu membawa USM mengharungi pelbagai cabaran yang bakal dihadapi ke arah mencapai misi dan visi Universiti dan menjadikan USM “A Preferred University by Design”.

“Pihak universiti amat yakin dan percaya dengan pengalaman dan kepakaran yang ada pada Dr. Hari Narayanan dan juga barisan ahli-ahli LGU yang lama dan baharu, mampu memacu dan melonjakkan kecemerlangan universiti pada masa hadapan dalam suasana Malaysia Baharu ini,” ujar Naib Canselor.

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015