USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SEDIA SELARAS USAHA MEMBANTU MASYARAKAT DUNIA

usmpalestin

KUBANG KERIAN, 13 Januari - USM bersedia bantu untuk berkongsi kepakaran dengan mana-mana pihak yang berusaha membantu mereka yang menghadapi masalah bukan sahaja di Gaza Palestin, tetapi juga di negara-negara lan seperti Filipina, Kemboja dan Vietnam, malah bersedia melakukan penyelarasan usaha sedemikian, apatah lagi terdapat banyak kepakaran di pelbagai institusi yang boleh dimanfaatkan bersama.

Demkian dinyatakan oleh Profesor Dato' Dr. Omar Osman kepada media selepas upacara penyampaian sijil tamat latihan kepada 6 orang pelatih Palestin dalam pembuatan anggota palsu di sini pagi ini.

Menjawab soalan pemberita sama ada USM berminat untuk bekerjasama dengan agensi antarabangsa dalam membantu pihak-pihak seperti rakyat Palestin, Naib Canselor USM itu menjelaskan bahawa usaha seperti ini tidak perlu menunggu orang lain lakukannya, apatah lagi dengan mengharap agensi-agensi lain melakukannya sedangkan kita mempunyai keupayaan berbuat demikian.

Tambahnya lagi, USM sedang berusaha untuk membangunkan budaya sukarela dan sedia memberi dalam bentuk yang bersesuaian, bukannya sentiasa mengharapkan orang lain memberikan sumbangan dengan menjalankan usaha-usaha yang berupaya dilakukan, misalnya menubuhkan Tabung Pendidikan Palestin melalui sumbangan warganya melalui usaha sukarela termasuk menggalakkan sumbangan potongan gaji sekitar RM20.00 sebulan atau RM1.00 sehari bekerja yang berupaya menjana pendapatan untuk membiayai pelajar Palestin sama ada di negara itu atau yang berada di sini.

"Jika pelbagai institusi lain juga mengambil langkah yang sama, bayangkan berapa banyak yang boleh dijana berama-sama untuk faedah mereka yang memerlukannya," kata Omar.

Jelasnya, USM juga berhasrat mengukuhkan usaha melatih anak-anak Palestin yang berupaya menerap nilai-nilai yang sama dan sanggup berkhidmat secara sukarela dan yang penting membina kemampuan ilmu mereka bukan sekadar kekuatan fizikal semata-mata dalam menghadapi musuh, termasuk juga menjalankan program motivasi kepada anak-anak Palestin dalam membangunkan bakat dan kebolehan dalam jangka panjang,

"Kita juga mengharapkan untuk mengambil inisiatif membangunkan teknologi-teknologi mudah seperti menghasilkan bekalan air bersih dan teknologi-teknologi mudah yang boleh meningkatkan kualiti hidup masyarakat, bukan sahaja di Palestin malah juga di negara-negara lain.

Terdahulu, Naib Canselor USM turut menyampaikan anggota palsu kepada 3 pesakit Hospital Universiti Sains Malaysia hasil pembelajaran pelatih Palestin.

Profesor Dato' Dr. Omar Osman turut menyerahkan sumbangan Kerusi Roda 3 dalam 1 bukan logam yang berfungsi sebagai kerusi roda, stretcher dan katil kepada Presiden Amal Malaysia, Haji Hussin Ismail. 

Kerusi Roda 3 dalam 1 ini direka bentuk oleh pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik USM, Dr. Amir Yazid Ali melalui peruntukan sebanyak RM3,000 dari Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat.

Naib Canselor juga menerima sumbangan RM5,000 dari Koperasi Warga Kampus Kesihatan untuk Tabung Pendidikan Palestin.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Pengarah Kampus Kesihatan Profesor Dato' Mafauzy Mohamed dan pegawai-pegawai utama USM serta pegawai-pegawai Yayasan Amal Palestin. – Teks: MOHAMAD ABDULLAH

  • Created on .
  • Hits: 2634

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024