USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SAMBUT BAIK CABARAN BAJET 2019

45247912 1848935255205465 7676036126313807872 n

PULAU PINANG, 2 November 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) menyambut baik perhatian kerajaan terhadap memajukan sektor pendidikan negara apabila ia menerima  peruntukan terbesar dengan jumlah RM60.2 billion atau 19.1% daripada keseluruhan cadangan perbelanjaan Kerajaan bagi tahun 2019.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, walaupun situasi ekonomi dalam keadaan mencabar, Kerajaan masih meletakkan fokus dan keutamaan yang tinggi di dalam memajukan sektor pendidikan yang dilihat sebagai antara pemacu utama kemajuan negara.

“USM mengambil perhatian juga tentang peruntukan RM400 juta untuk tujuan penyelidikan yang disediakan oleh kerajaan termasuklah inisiatif Program Malaysia Partnerships and Alliances in Research (MyPAIR), yang saya yakin akan menggiatkan penyelidikan dengan agensi antarabangsa.

“Langkah ini penting bagi memposisikan institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang mempunyai keupayaan penyelidikan yang bukan sahaja setanding, malah lebih baik berbanding dengan sesetengah institusi luar, di peringkat dunia,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, USM juga mengambil perhatian terhadap perhatian khusus kerajaan terhadap persiapan negara dalam menghadapi Lonjakan Industri 4.0 yang mana USM telah mula mengikuti perkembangannya hampir dua tahun yang lalu.

USM menurut beliau telah membuat persediaan termasuklah dengan pendokumentasian kepakaran khususnya dalam bidang kejuruteraan, perubatan, kemanusiaan dan kemasyarakatan.

“Kita menjangkakan bahawa cabaran terbesar yang akan dihadapi oleh negara akan banyak berkisar kepada aspek kemanusiaan. Pastinya ramai yang berlumba untuk pembangunan teknologi, namun kita harus ingat bahawa pengguna kepada semua teknologi ini adalah manusia. Soalnya bagaimana teknologi ini boleh berkembang tanpa menjejaskan aspek sosio ekonomi penduduk di negara ini.

“Kita berharap selain sistem rujukan Knowledge Resource for Science & Technology Excellence (KRSTE.my), negara juga akan mempunyai mekanisma khas bagi meneliti keseimbangan di antara pembangunan teknologi dan kesejahteraan penduduk di Malaysia,” ujar beliau lagi.

Bajet atau Belanjawan 2019 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat petang ini.

  • Created on .
  • Hits: 1506

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024