USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGURUSAN TERTINGGI USM RAIKAN PERSARAAN ENGKU RAZIFAH DAN PELANTIKAN RUGAYAH ALI SEBAGAI KETUA PUSTAKAWAN USM YANG BAHARU

IMG 0275

PULAU PINANG, 31 Oktober 2018 – Ketua Pustakawan Universiti Sains Malaysia (USM), Engku Razifah Engku Chik yang menamatkan perkhidmatannya setelah menabur bakti lebih 32 tahun dengan Perpustakaan USM diraikan dalam majlis khas di sini baru-baru ini.

Engku Razifah berpengalaman berkhidmat hampir di kesemua kampus USM bermula di Cawangan Jabatan Perpustakaan Pusat Pengajian Sains Perubatan pada 1986, kemudian ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (2003), seterusnya ke Perpustakaan Hamdan Tahir pada 2006 dan menjalankan khidmat terakhirnya di Perpustakaan Hamzah Sendut sejak 2016 sehingga bersara.

IMG 0301

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, Engku Razifah yang dikenalinya merupakan seorang rakan yang baik, sering membantu dan ringan tulang.

“Dalam aspek perkhidmatan, beliau seorang yang komited dan bekerja keras untuk merealisasikan setiap perancangan yang dibuat. Antara pencapaian yang membanggakan apabila beliau berjaya menganjurkan Simposium Perpustakaan Bersama Pusat Pengajian yang turut mendapat maklum balas positif daripada para penyelidik. 

IMG 0289hj

“Saya difahamkan juga, Perpustakaan USM merupakan salah sebuah PTJ terawal mendapat pensijilan MS ISO 9001:2015. Ia satu pencapaian yang sangat membanggakan dan saya berharap perkhidmatan dan kualiti yang ditawarkan oleh Perpustakaan USM seiring dengan pensijilan yang diperolehi,” katanya.

IMG 0283

Datuk Asma turut melahirkan rasa bangga dengan perkembangan dan kemajuan yang dicapai sepanjang tahun ini dan sepanjang beliau menjadi Ketua Pustakawan.

Di samping itu, Asma turut meraikan pelantikan Ketua Pustakawan USM yang baharu iaitu  Rugayah Ali, berkuatkuasa pada 1 November 2018 dan beliau telah menyampaikan watikah pelantikan dan nota serah tugas kepada Rugayah dalam majlis yang sama.

IMG 0316

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein; Pendaftar, Dr. Musa Ali, serta pengurusan tertinggi yang lain.

Teks: Nurul Huda Abdullah/Suntingan: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1945

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024