USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM METERAI MOU DENGAN SYARIKAT KELULI TERBESAR DI MALAYSIA

PULAU PINANG, 30 Oktober 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat keluli dan besi terbesar di Malaysia iaitu Kumpulan Ann Joo Resources Sdn. Bhd. melalui yayasan amal dan kebajikannya, Yayasan Jasa Ann Joo (YJAJ) hari ini.

Pemegang amanah YJAJ yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Ann Joo Resources Sdn. Bhd., Dato’ Lim Hong Thye berkata, MoU ini bertujuan menjalinkan kerjasama bagi memberikan peluang pendidikan kepada pelajar yang layak dan daripada latar belakang yang kurang bernasib baik dengan memberikan sama ada biasiswa, penajaan, subsidi, bantuan atau sokongan dalam bentuk elaun.

“Kerjasama dengan institusi seperti USM adalah untuk menyediakan program latihan dan pembangunan berstruktur, latihan teknikal atau vokasional dalam membangun dan meningkatkan keupayaan, pemahaman dan kemahiran pelajar USM,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, berkata beliau juga percaya bahawa MoU ini bakal memberikan peluang kepada para pelajar serta menjalinkan kerjasama yang baik antara industri dan universiti dalam bidang penyelidikan yang akan memanfaatkan kedua-dua pihak secara jangka panjang.

“Saya juga percaya dalam era globalisasi ini, tidak ada universiti atau industri dapat menangani cabaran masa depan dengan sendirinya dan secara ‘silo’,” katanya.

Kumpulan Ann Joo Resources Sdn. Bhd. adalah syarikat yang terlibat dalam pembuatan dan perdagangan keluli yang telah bertapak di Malaysia selama 72 tahun dan hari ini dikenali sebagai syarikat keluli terbesar di Malaysia.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Dr. Zuhailawati Hussain; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Ir. Dr. Mohd Zulkifly Abdullah serta pegawai BJIM. 

Teks: Nurul Huda Abdullah / Suntingan: Nor Rafizah Md. Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1201

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024