USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CANSELOR USM SERU GRADUAN MATANG DALAM HADAPI CABARAN DUNIA MASA HADAPAN

USM, PULAU PINANG, 23 Oktober 2018 - Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail hari ini bertitah menyeru para graduan bersiap sedia untuk menyahut cabaran dunia sebenar pada masa hadapan.

“Saya juga yakin, para graduan akan berhadapan dengan cabaran yang berbeza berbanding apa yang dihadapi oleh rakan-rakan alumni yang terdahulu,” titah baginda kepada 593 orang graduan yang menerima ijazah pada Sidang Pertama Upacara Konvokesyen Ke-56 USM di Dewan Tuanku Syed Putra di sini, hari ini.

DYMM Tuanku Raja Perlis turut bertitah berharap apa yang graduan peroleh sepanjang pengajian di Universiti ini mencukupi untuk dijadikan bekalan dan mematangkan mereka untuk berhadapan dengan cabaran yang serba baharu itu, dan juga membolehkan mereka mencari penyelesaian kepada cabaran-cabaran besar dalam masyarakat dan mencari ikhtiar untuk memudahkan kehidupan masyarakat.

"Malah, graduan juga diingatkan supaya terus mengikut jejak langkah Alumni USM yang telah mencipta pelbagai kejayaan dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta sentiasa memelihara nama baik Universiti Sains Malaysia di mana jua mereka berada,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin dalam titahnya juga berpesan supaya graduan meraikan hari graduasi dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran serta tidak melupakan segala pengorbanan ibu bapa, ahli keluarga serta warga pendidik yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan mereka itu.

Baginda turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perindustrian kepada Tan Sri Dato’ Seri Tan Khoon Hai, yang berpengalaman hampir 40 tahun dalam bidang pengauditan, perakaunan dan kewangan korporat, dan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Pendidikan kepada mantan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato’ Sri Ibrahim Ahmad.

Turut  diberi pengiktirafan ialah dua tokoh akademia USM dengan gelaran Profesor Emeritus, salah seorangnya ialah mantan Naib Canselor Kelima USM, Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dan seorang lagi pakar dalam bidang ekologi dan biodiversiti dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Dr. Mashhor Mansor, yang juga pengasas Persatuan Primatologi Malaysia (MPS).

Sejumlah 6,979 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Kehormat, Profesor Emeritus, Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Kejururawatan dalam sepuluh sidang, bermula hari ini sehingga 28 Oktober 2018.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 718

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024