USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MANTAN PENDAFTAR DILANTIK FELO ASM, DUA PENSYARAH USM TERIMA TRSM

43

KUALA LUMPUR, 1 Nov. 2018 – Mantan Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Abd. Aziz Tajuddin dilantik sebagai Felo Akademi Sains Malaysia dengan gelaran FASc. hari ini.

Pelantikan tersebut telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed di majlis Pelantikan Felo ASM dan Pengumuman Top Research Scientist Malaysia (TRSM) 2018.

Abd. Aziz dilantik felo dalam bidang Fizik setelah melibatkan diri dalam bidang tersebut sejak tahun 1970-an iaitu ketika menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Pelantikan ini adalah berdasarkan pencalonan oleh felo yang lain dan alhamdulillah saya terpilih di samping 28 felo yang lain dari lapan disiplin pengajian pada tahun ini,” kata Abd. Aziz yang setia ditemani isteri ketika menerima pelantikan tersebut.

Pada majlis yang sama, dua pensyarah iaitu Profesor Dr. Lee Yeong Yeh dari Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Profesor Dr. Lean Hooi Hooi dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) dinobatkan sebagai TRSM 2018. 

45

Menurut Hooi Hooi, beliau sangat bersyukur dipilih untuk menerima TRSM pada tahun ini serta bersama-sama para saintis yang lain bagi memajukan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di dalam negara.

“Sebagai seorang ahli ekonomi, kemajuan bidang STI di dalam negara dapat membantu perkembangan ekonomi negara Malaysia,” tambahnya yang diiringi oleh Dekan PPSK, Profesor Dr. Azlinda Azman.

44

Bagi Yeong Yeh pula, beliau sangat berterima kasih kepada pihak Universiti serta seluruh keluarganya yang memahami tugasan beliau yang mencabar dalam bidang perubatan.

Pada tahun ini, seramai 24 pakar dalam bidang masing-masing dinobatkan sebagai TRSM dan menjadikan sehingga kini, 157 orang telah menerima penganugerahan tersebut sejak ia dilancarkan pada tahun 2012. 

Projek TRSM merupakan sebahagian daripada usaha ASM untuk memupuk budaya kecemerlangan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI). Ia bertujuan memberi pengiktirafan dan mempamerkan pencapaian saintis penyelidikan Malaysia yang telah memberi sumbangan ketara kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui penjanaan dan penyebaran ilmu; penciptaan kekayaan dan usaha produktif ke arah pencapaian kecemerlangan sains untuk kebaikan manusia; dan menjadi “role model” dalam menjana kecemerlangan, mentor kepada generasi akan datang serta pemimpin untuk mara ke hadapan dengan agenda STI negara.

48

20

Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail yang juga Presiden ASM dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang juga felo ASM. 

Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1460

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024