USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KESIHATAN MENTAL PERLU DIBERI PERHATIAN SERIUS, KATA NC

PULAU PINANG, 31 Oktober 2018 – Kepentingan dalam menjaga aspek kesihatan mental perlu diberi perhatian serius bagi memastikan keseimbangan emosi, spiritual dan ketahanan menghadapi apa juga cabaran yang berlaku.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, kebimbangan mengenai masalah mental yang semakin meningkat perlu diberi perhatian sewajarnya memandangkan telah banyak kes berlaku di negara ini melibatkan remaja seawal usia 16 tahun.

“Perkara ini cukup membimbangkan seperti yang kita lihat di akhbar dan medial sosial iaitu peratusan rakyat Malaysia yang mengalami tekanan mental semakin tinggi dan sanggup membunuh diri hanya kerana masalah kecil yang sebenarnya mampu dirawat mengikut panduan yang betul,” katanya.

Jelas Asma, USM sentiasa mengambil serius berkenaan kesihatan mental yang dihadapi oleh warga kampus tidak mengira staf atau pelajar bagi mengelakkan perkara-perkara buruk terjadi.

“Oleh sebab itu peranan besar perlu dimainkan oleh Pusat Sejahtera, Pusat Islam, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Pusat Transformasi Insan dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA).

“Pusat Tanggungjawab tersebut mempunyai khidmat pakar kaunseling dan psikiatri bagi mengenal pasti warga kampus yang berdepan masalah ini untuk ditangani sebaik mungkin agar mereka tidak terjerumus kepada perkara yang lebih buruk,” katanya ketika merasmikan sambutan Bulan Kesejahteraan Minda 2018 di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa, di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, perkara yang membimbangkan adalah jika dilihat trend terkini, ramai yang berhubung dan berkomunikasi melalui gajet dan meluahkan permasalahan di media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain.

“Ini merupakan perkara yang membimbangkan buat kita semua kerana dalam era teknologi yang dikecapi kini disalahguna membuatkan manusia hilang sifat kemanusiaan dan mendatangkan banyak permasalahan mental buat diri dengan adanya pelbagai medium sebegini.”

Pada majlis yang sama, Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid berkata, sambutan Bulan Kesejahteraan Minda bertemakan ‘Mental Sejahtera, Warga Bahagia’ ini merupakan inisiatif untuk membantu warga kampus agar sentiasa berani berhadapan dengan cabaran hidup di tempat kerja dan di mana sahaja.

“Saya amat mengharapkan warga kampus tidak mengira staf mahupun pelajar memanfaatkan program-program yang diadakan sepanjang bulan kesejahteraan minda ini agar mereka mampu merasai dan mengatasi masalah kesihatan mental jika berlaku pada diri masing-masing,” katanya.

Tambahnya, program ini dijalankan antara lain bertujuan bagi meningkatkan sokongan sosial buat individu yang menghadapi masalah tekanan mental dan menunjukkan keprihatinan USM dalam soal kebajikan warga kampus untuk berani menempuh cabaran menjalankan tugas dan amanah masing-masing.

Pada majlis ini, turut dijemput adalah pakar psikiatri yang juga Pensyarah USM dari IPPT USM, iaitu Dr. Mohammad Faris Leong Abdullah dan Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Dr. Yasmin Othman Mydin bagi mengupas dan berkongsi maklumat mengenai kesejahteraan minda bersama tetamu yang hadir.

Yang turut hadir adalah Mantan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar USM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Amir Awang; dan Timbalan Pendaftar Kanan, BHEPA USM, Mohamad Abdullah.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1558

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024