USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENDIDIK DENGAN QALBU

usmpeyatim

Pendahuluan

 

1.         Saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan menyampaikan pembentangan untuk para peserta Seminar Mentransformasi Kebajikan Anak Yatim anjuran Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) yang disokong oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, USM dan Persekutuan Kebajikan Anak Yatim Malaysia ini. Saya memilih untuk bercakap tentang Mendidik dengan Qalbu, sesuatu yang mungkin agak keluar daripada sesuatu yang biasa kita ungkapkan. Jika selama ini kita melihat fokus utama pendidikan ialah untuk melahirkan mereka yang berupaya untuk bersaing dalam dunia pekerjaan yang begitu kompetitif, saya fikir sebelum kita menghadapi persaingan, elok kita kembali kepada tujuan utama pendidikan. Saya menyentuh tentang qalbu kerana hanya dengan cara itu, kita akan lebih merasai makna ilmu dan peranan orang berilmu kerana qalbu dikatakan sebagai “hati, pusat segala perasaan batin, atau qalbu zakiah yang dimaksudkan sebagai hati yang suci murni” paling tidak berdasarkan pengertian kamus Dewan Bahasa dan Putaka. Kerana itu, pada petang ini, saya ingin mengingatkan diri saya dan mengajak saudara-saudari untuk merasai maksud sebenar proses pendidikan yang datangnya dari qalbu yang juga harus menyentuh qalbu mereka yang dididik dan pada akhirnya pula memberi natijah yang kita inginkan di dalam masyarakat, nusa dan bangsa.

Mengapa Qalbu?

2.         Kalau kita perhatikan, dasar-dasar pendidikan yang dibangunkan selama ini mempunyai maksud dan hasrat tersirat yang amat sempurna dan ideal. Kita dapat melihat bagaimana usaha-usaha yang dibuat cuba dilaksanakan untuk mendapat hasil yang optimum, daripada proses pendidikan guru sehinggalah kepada proses penghasilan pelajar dan mahasiswa sehinggalah ke peringkat yang paling tinggi. Walau pun terdapat pelbagai kritikan dan pandangan dari pelbagai perspektif dan disiplin ilmu, namun pada akhirnya kita menginginkan agar anak-anak muda yang lahir dari sistem pendidikan yang ada berupaya untuk menjadi insan kamil dan mempunyai sikap yang kita harapkan.

3.         Kita tahu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sendiri melalui UNESCO telah menggariskan sekurang-kurangnya 4 tonggak pendidikan yang utama, iaitu “Learning to Know, Learning to Do, Learning to Live Together dan Learning to Be. Semua ini mendorong untuk negara kita mahu pun negara-negara lain seluruh dunia membangunkan kerangka pemikiran yang dapat mengasuh dan mendidik anak-anak kita untuk menjadikan proses pendidikan formal yang ada dapat memenuhi keempat-empat tonggak ini.

4.         Namun, realitinya, kita sedar bahawa tidak cukup dengan keemp[at-empat tonggak tersebut, kejayaan sebenar juga sering diukur dari segi kebolehpasaran seseorang yang keluar dari sistem pendidikan yang ada dan keupayaannya untuk mendaki kejayaan yang berasaskan kepada ukuran ekonomi dan fizikal yang tidak kurang juga menyebabkan terbabas dan menghasilkan pelbagai krisis dalam masyarakat, negara dan dunia apabila mereka yakni anak-anak muda ini memilih untuk bersaing mengikut cita rasa dan keperluan emosi dan peribadi yang kadang-kadang menyebabkan dipersoalkan dari aspek integriti dan akauntabiliti apatah lagi apabila dilihat pula dari perspektif agama dan moral yang kerap kali pula terjadi dan mengancam pembangunan tamadun umat apatah lagi dalam gal-hal yang bersangkut paut dengan isu kelestarian dalam hal alam sekitar dan pembangunan jiwa kemanusiaan serta kesejahteraan yang menjadi fokus setiap proses yang berlaku. Ketidakseimbangan ini kerap kali pula berkait rapat dengan proses pendidikan yang berlaku yang mempunyai lompang di sana sini dan akhirnya gagal menghasilkan manusiaan dan kemanusiaan, insane dan keinsanan apatah lagi mengukur dari sudut hubungan dengan manusia, alam (termasuk cakerawala, flora dan fauna) apatah lagi Maha Penciptanya.

5.         Kerana itu jugalah timbul gesaan-gesaan untuk dilakukan transformasi malah revolusi terhadap proses pendidikan dengan memastikan agar rohnya dikembalikan untuk dirasai oleh mereka yang mendidik dan mereka yang dididik agar pada akhirnya ia dapat dikongsi dan turut meresap di dalam hati mereka yang terlibat bagi memastikan ia dapat mencapai matlamat yang diharapkan. Gesaan-gesaan ini mempunyai asas yang kukuh berdasarkan fakta gejala sosial, “exam oriented” yang keterlaluan, kegagalan untuk lebih inovatif dan kreatif dalam pemikiran untuk menghasilkan reka cipta baharu, kesukaran untuk mereka yang berilmu pengetahuan bersikap lebih “generalist” bukannya terlalu “specialist” sehingga sukar untuk seseorang itu bergerak dalam lingkungan keperluan yang ada.

6.         Kita juga melihat tekanan demi tekanan yang diterima bukan sahaja oleh mereka yang dididik tetapi juga para pendidik yang ingin melihat pencapaian cemerlang dalam peperiksaan sebagai kayu ukur kejayaan yang ada. Kita jarang melihat nasib dan laluan mereka yang kurang cemerlang atau mediocre dan bagaimana “capacity building” dan pengurusan bakat dapat dilakukan secara berterusan, menggalakkan dan menghargai pemikiran apatah lagi untuk kreatif dan inovatif dalam penghasilan sesuatu yang original dan baru. Disebabkan berpegang teguh kepada sillibus dan peperiksaan, pendapat yang tidak selari dengan buku teks dan kertas peperiksaan.

Nilai-nilai Dalam Pendidikan

7.         Proses pendidikan secara keseluruhan, apatah lagi apabila kita bercakap dalam konteks anak-anak yatim, saya fikir, soal qalbu yang banyak disentuh oleh para ulamak dan cendekiawan amat penting untuk kita ambilnya semula. Soal qalbu yang berkait rapat dan akrab dengan kita semua perlu benar-benar dihayati dan dirasai.

8.         Hal ini lebih penting kerana penzahiran kecemerlangan melalui proses pendidikan yang berlaku dan dilakukan perlu bersifat menyeluruh dan holistik, dengan ekosfera yang saling berkaitan antara satu sama lain, melalui pembangunan organisasi yang lebih menyeluruh dan melihat pembangunan insan sebagai mekanisme penting dalam kecemerlangan organisasi dan institusi yang kemudiannya akan dikembangkan dalam kalangan masyarakat setempat, negara dan dunia seluruhnya. Ekologi ini tidak harus dilihat secara terpisah sebaliknya perlu menjadi satu sinergi bersama kekuatan ilmu dan sumber manusia yang berteraskan kepada nilai-nilai yang jelas yang disokong juga oleh teras, tonggak, visi dan misi serta prinsip-prinsip dapat dilaksanakan secara realistik yang pada akhirnya dapat menjadi proses pendidikan yang dinamik dan membantu dalam melakukan perubahan.

9.         Ini bermakna proses pendidikan dapat beranjak dari keadaan “pemikiran” (thinking and idealism) kepada tindakan-tindakan yang dapat menghasilkan mereka yang mampu untuk berfikir, bermain dengan kreativiti dan inovasi untuk bergerak ke hadapan dengan matlamat yang jelas dari sudut apa yang ingin dicapai dan menggesa dilaksanakan secara “operasional” oleh semua yang dipertanggungjawabkan dalam usaha tersebut. Yang penting ialah, mereka yang terlibat tahu membezakan dengan jelas antara pelan tindakan dengan perancangan strategik yang dilakukan, antara fokus pencapaian dengan bagaimana ia dicapai dan dilaksanakan, antara proses yang cekap dan berkesan dengan “red-tape” yang perlu dilupuskan kecuali mempunyai sebab yang kukuh dengan keterikatan kepada peraturan yang ada. Ini juga bermakna proses pendidikan perlu menumpukan kepada usaha pembangunan jiwa manusia yang mempunyai hati budi, hati nurani dan mata hati yang menyelami makna yang tersurat dan tersirat dan makrifat ilmu yang dipelajari.

10.        Ini juga adalah sebahagian dari pemboleh ubah atau “enables” yang perlu dimanfaatkan berteraskan kepada teknologi, kreativiti dan inovasi sebagai agen perubahan bagi menggerakkan keseluruhan organisasi dalam memenuhi kerangka perancangan dan fokus yang ada untuk kita memacu kecemerlangan secara holistik dari hati nurani atau qalbu yang dirasai dengan matalamat akhirnya untuk mendapatkan barakah dan memberi faedah kepada kumpulan terbanyak iaitu umat manusia seluruhnya dan alam, atmosfera dan cakerawala sebagai medan yang menyediakan peluang dan anugerah untuk disyukuri dan dikongsi.

11.        Semua ini mengambil kira pyramid ilmu yang merangkumi yang paling bawah dan terbesar ilmu emperikal, diikuti oleh ilmu rasional dan paling atas dan kemuncak ialah ilmu “spiritual” yang sering tidak diangkat secara rasmi kedudukan dalam proses keilmuan. Ilmu yang bersifat “spiritual” tonggak sebenar kepada sesuatu proses pengajian kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar sebaliknya dirasai oleh mata hati atau qalbu yang bertunjangkan kepada Khaliq atau Maha Pencipta yang menjadi penentu dalam memberikan keberkatan atau yang dipanggil “barakah” terhadap proses keilmuan.

Matlamat Mendidik

12.        Berasaskan kepada perkara tersebut, maka matlamat kita mendidik dan proses pendidikan yang dilakukan mestilah untuk menmdapat barakah. Barakah pula dapat dicapai apabila cara dan kaedahnya betul dan natijahnya juga betul. Dalam erti kata lain, apabila kita mendidik, seseorang pendidik perlu benar-benar memahami bahawa apa yang diajar dan cara mengajar adalah saling berkait dalam meningkatkan kefahaman pelajarnya terhadap apa yang diajar. Seseorang pengajar bukan sahaja menjadi burung kakak tua yang mengulangi apa yang diajar, tetapi menjiwainya sepenuh hati dan tahu serta sedar hasil yang diinginiya.

13.        Seseorang pendidik akan melihat apa yang diajarnya sebagai satu amanah dan kewajipan besar dalam membentuk sahsiah diri dan menguasai ilmu yang diberikannya berdasarkan disiplin yang dikuasainya. Seseorang pendidik akan menyusun strateginya yang tersendiri dalam menterjemah ilmu dan meningkatkan kefahaman pelajarnya, menyusun gerak tektikalnya untuk menarik minat mereka dan pada akhirnya sedar tentang bagaimana untuk menterjemahkan secara bijaksana (wisdom) untuk proses operasionalnya. Memandangnya ia datang hari qalbu, maka proses ini menghantar satu signal yang jelas kepada penerimanya ialah para pelajar.

14.        Aspek pedagogi yang berteraskan psy-war dalam mendidik anak-anak inilah yang perlu dikuasai terlebih dahulu oleh para pendidik yang akan melakukannya dengan penuh sabar, tekun, komited dan “passionate”. Seseorang pendidik akan merasai getaran hari pelajarnya, menjiawai tekanan dan keseronokannya dan sekaligus bersama-sama menzahirkan kecemerlangan yang diinginkan oleh semua, apatah lagi dalam kalangan anak-anak yang sedang melangkah ke alam dewasa yang memerlukan kefahaman, perasaan empati dan kesungguhan untuk melihat di mana adanya roh dalam proses pendidikan yang dibuat.

15.        Tentunya, hal ini akan dapat dirasai oleh anak-anak khususnya para pelajar apabila melihat kepada para pendidik yang mendidik dengan penuh kasih sayang, perhatian, kesabaran dan ketekunan ini. Mereka disedarkan tentang matlamat utama ilmu pengetahuan bukan hanya lulus peperiksaan dengan cemerlang tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah kefahaman terhadap setiap lontaran ilmu pengetahuan, disiplin pengajian dan seluruh proses yang dilakukan untuk meningkatkan keupayaan berfikir, memajukan daya intelek dan kesunguhan untuk bermain dengan kreativiti dan penghasilan inovasi untuk kepentingan masyarakat, negara dan dunia seluruhnya. Ini dapat mendorong kebebasan berfikir dalam lingkungan akauntabiliti dan tanggungjawab serta untuk mereka cipta apatah lagi menzahirkan kebanggaan sebagai seorang dan keinginan untuk mempertahankkan dengan jiwa raga.

16.        Sama ada secara langsung atau tidak, seluruh proses pendidikan dihubung dan saling berkaitan dalam satu jaringan eko-sistem dan kitaran seumpama satu jaringan web yang jelas mahu pun maya, tetapi kesan dan impaknya dapat dirasai dan dijelmakan secara lebih kukuh bukan sekadar menerokai ilmu, tetapi pembangunan manusia yang holistik dari segi fizikal mahu pun pemikiran tanpa mengenepikan kepentingan hati nurani dan barakah dalam memacu kecemerlangan.

Pembangunan Qalbu

17.        Menyedari hasrat ini, usaha untuk membangunkan qalbudalam acuan pendidikan seharusnya berkait rapat dengan pengurusan pendidikan dan pengurusan ilmu yang cekap dengan kembali kepada konsep ilmu dan proses penerokaan ilmu yang seharusnya dibangunkan secara bersepadu dengan bidang-bidang bitara yang jelas secara holistik dan meletakkan kebijaksanaan (wisdom) ilmu sebagai paling utama yang beretika tinggi.

18.        Pembangunan qalbu harus bersandarkan kepada realiti manusia dan kemanusiaan, persekitaran, nilai-nilai utama kehidupan serta kembali kepada asas fundamental ilmu dan tidak melupakan sifat dan fitrah manusia, roh dan aqal (scorpus) yang penting dalam pembangunan insan yang kita inginkan.

19.        Tentu sahaja kita perlu melihat bagaiamana nantinya proses ini dapat mengukuhkan usaha untuk pembangunan kekuatan dan kebitaraan yang tersendiri, usaha menjadi insane yang kamil dan terbaik dalam konteks manusia, kemanusiaan dan Tuhannya serta sentiasa relevan dengan persekitaran, akal budi dan dunia seluruhnya.

20.        Sewajarnya juga, pembangunan qalbu dapat melihat kepada nilai-nilai kebenaran, kebolehpercayaan, ketelusan, kauntabiliti, keadilan, kemanusiaan dan sekaligus berupaya mengukuhkan tadbir urus yang insani dalam menggabungkan keseluruhannya untuk mendapat keberkatan yang bertunjangkan kepada nilai-nilai etika, estetika, integriti, profesional dan roh keagamaan yang tulen.

Kesimpulan

21.        Mendidik dengan qalbu akan juga sampai kepada qalbu yang dapat dirasai dan dijiwai. Untuk menjadikannya berkesan ia harus benar-benar dari jiwa keikhlasan dan kesungguhan bukan dibuat-buat. Mereka yang terlibat sedar dabn dengan sengaja tahu bahawa yang akan menghakimi dan melihat sebenarnya bukan lagi manusia tetapi Tuhan yang akan menganugerahkannya dengan keberkatan.

22.        Pada saat itu, seseorang pendidik dan pelajarnya akan melihat dengan mata hatinya, menilai dengan jiwanya dan sentiasa menyirami dengan kesungguhan untuk mencapai kecemerlangan kerana matlamat akhirnya ialah keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t. Ini sama seperti mereka yang melihat sesuatu usaha itu sebagai satu jihad fi sabilillah, yang menegaskan dengan beraninya betapa yang diingini sebenar-benarnya ialah rahmat Allah s.w.t., syurga Allah s.w.t dan apa jua yang dilakukan adalah alat dan mekanisme untuk mencapai kelazatan iman. Kedua-duanya pelajar dan pendidik saling berhubung secara maya walau pun jaraknya mungkin tidak kelihatan, tetapi qalbu itulah yang akhirnya akan sentiasa terbuka.

23.        Hal ini amat tepat apabila kita melihat bagaimana hubungan dan rasa hornat kita dengan tok-tok guru dan mereka yang mengajar kita dahulu yang walau pun pendapatan mereka tidak seberapa tetapi kesungguhannya tidak ada ukurannya. Rasa hormat yang kekal dan sering bermain dalam ingatan kita walau pun setelah puluhan tahun berlalu.

24.        Namun yang paling utama ialah bagaimana mendidik dengan qalbu berupaya untuk menjadikan seseorang itu sentiasa memahami tujuan dan proses pembelajarannya yang diawasi juga oleh hati nuraninya dan faham bahawa natijah ilmu ialah seseorang itu berfikir, bertindak dan mempunyai sikap yang berasaskan keilmuannya, fakta dan datanya dan sedar bahawa dia mempunyai amanah dan tanggungjawab untuk melakukan perubahan dalam masyarakat dan bukan hanya pamndai menuding jari dan melarikan diri dari pertanggungjawaban terhadap ilmu yang dimilikinya. Itulah yang dimaksudkan sebagai barakah dan keredhaan Tuhan sebagai asas utama gerakan qalbunya.

25.        Malangnya, proses pendidikan kita jarang mengambil kira aspek qalbu ini sama ada dalam kalangan pendidik mahu pun mereka yang dididik. Pendidikan dari qalbu akan berupaya menanamkan makna sebenar ilmu pengetahuan dan penghayatannya, kecintaan kepada nusa dan bangsa dan rasa syukur dengan tanah tumpah darahnya untuk dipertahankan melalui ilmu pengetahuan yang ada. Kita terlalu asyik menekankan kepada kebolehpasaran dan kejayaan dalam aspek pembangunan ekonomi, yang tidak seharusnya diketepikan, tetapi perlu seimbang antara aspek sahsiah dan qalbu. Kebimbangan juga ialah apabila tidak seimbang, kita akan hasilkan mereka yang lemah jiwa raganya, cepat berputus asa, mudah tertekan dengan emosi yang tidak stabil dan morale yang rendah. Kembalilah kepada qalbu dan yang disuburkan oleh iman yang mencari keberkatan dalam setiap apa yang kita lakukan.

[Kertas kerja yang dibentangkan oleh Profesor Dato' Omar Osman, Naib Canselor USM dalam Seminar Mentransformasi Kebajikan Anak Yatim anjuran Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM)]

 

 

 

 

  • Created on .
  • Hits: 3558

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024