USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WEI YINN LUAR BIASA

USM, PULAU PINANG, 28 Oktober 2018 – Menghadapi masalah ketika berkomunikasi bukanlah halangan buat seorang pelajar kelainan upaya (OKU) kategori autisme, Wong Wei Yinn, 23, menggenggam Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pada Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) kali ke-56.

Berbekalkan kecekalan dalam menimba ilmu, Wei Yinn percaya berkat sokongan padu terutama daripada ibu bapanya telah membuatkan dirinya tabah untuk meneruskan sehingga tamat pengajian selama empat tahun di USM.

“Sepanjang pengajian, rakan-rakan dan pensyarah banyak membantu dan memberi semangat kepada saya serta sentiasa menolong saya terutamanya dalam pembelajaran,

“Saya amat bersyukur dengan kejayaan ini. Kekurangan yang ada tidak pernah mematahkan atau membantutkan semangat saya untuk terus belajar. Hari ini saya sudah buktikan kepada mereka di luar sana bahawa pelajar autisme juga mampu menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan negara,” kata anak kelahiran Kulim, Kedah ini lagi.

Ibunya, Ong Guai Hua berkata, walaupun anaknya itu hanya boleh bertutur ketika berusia sembilan tahun, namun dia masih boleh mengikuti pembelajaran di sekolah bersama-sama pelajar normal yang lain.

“Saya sentiasa memberi kebebasan kepadanya untuk menimba ilmu dan bergaul dengan rakan-rakan, dan saya percaya dia mampu untuk mengawal dirinya,” jelas ibu kepada tiga orang anak ini.

Wei Yinn kini menyambung pengajiannya di Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) di Kuala Lumpur.

Wei Yinn merupakan antara 660 graduan yang menerima ijazah masing-masing bagi Sarjana Muda Sastera, Sarjana Muda Perakaunan dan Sarjana Muda Pengurusan di Sidang Ke-8 yang dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 856

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024