USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RATU KEBAYA RUSIA TERUJA TERIMA IJAZAH USM

IMG 0378

PULAU PINANG, 27 Oktober 2018 – Juara pertandingan Ratu Kebaya Pulau Pinang tahun lalu yang berasal dari Rusia teruja apabila berjaya menamatkan pengajian dan berijazah dalam Upacara Konvokesyen Ke-56 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Ksenia Kondratenko, 24, berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dan menerima skrol pada sidang kesembilan yang dipengerusikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail. 

Ksenia berkata, pengalaman di USM sangat memberi impak kepada fasa penting dalam kehidupannya dan mencorak keperibadiannya menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab.

"Saya ke sini dengan hanya berbekalkan semangat ingin menuntut ilmu dan sepanjang lima tahun di sini banyak yang saya belajar termasuk mengenali kepelbagaian budaya di negara ini dan meraikan keunikan Malaysia yang tidak ada di tempat lain," katanya.

Tambah Ksenia yang juga anak tunggal kepada pasangan Eduard, 45 dan Olga, 44, walaupun keluarganya tidak dapat bersama pada hari penuh bersejarah buat dirinya, beliau tidak berasa kesunyian dengan adanya kawan-kawan di sekeliling.

"Saya tidak silap membuat pilihan dengan memilih USM dan jika saya berpeluang dikurniakan anak-anak sendiri, saya akan menggalakkan mereka untuk terus memilih USM sebagai destinasi pengajian tinggi mereka," katanya.

Ksenia kini turut telah ditawarkan pekerjaan dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan khidmat komuniti kepada golongan kurang berkemampuan dan keciciran termasuk masyarakat orang asli.

Beliau yang mengambil pengkhususan dalam Sains Politik amat mencintai kerja yang dilakukannya kini iaitu memperkasa komuniti terkebawah melalui pengajaran Bahasa Inggeris secara percuma dan kemahiran teknikal untuk manfaat kehidupan mereka.

Teks: Marziana Mohamed Alias



  • Created on .
  • Hits: 1642

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024