USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DETIK BERSEJARAH: RAJA PERLIS LANCAR LOGO 50 TAHUN USM

USM, PULAU PINANG, 24 Oktober 2018 – Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail kelmarin mencemar duli berangkat ke Majlis Santapan Tengah Hari sempena Upacara Konvokesyen ke-56 USM yang berlangsung di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF).

Di majlis tersebut, satu sejarah telah tertulis apabila baginda telah melancarkan Logo 50 tahun USM yang disaksikan para kenamaan dari USM termasuk Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama Dr. Haji Abdul Rahman Haji Abbas.

Pelancaran Logo ini telah disempurnakan melalui cantuman puzzle yang direka khas dan ditampal oleh 5 individu yang mempunyai latar belakang yang unik dan mempunyai kesinambungan antara zaman ketika USM ditubuhkan pada tahun 1969 hingga kini, dan mereka merupakan alumni dan pelajar USM.

Antara mereka yang terlibat ialah Mantan Naib Canselor USM ke-5, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak; Ahli Persatuan Alumni USM, Haji Mohd Ali Mohd Salleh; Pendaftar USM, Dr. Haji Musa Ali; Alumni USM yang merupakan seorang OKU, Khu Li Huang; dan pelajar USM, Nabella Ridhuan Lau.

Logo 50 tahun USM ini telah diilhamkan oleh penampal puzzle pelancaran iaitu Mohd Ali yang merupakan seorang individu yang terlibat secara langsung ketika zaman kegemilangan filem Ali Setan pada tahun 80-an dahulu dan logo ini telah melalui beberapa fasa sebelum rekaan akhirnya telah dipersetujui untuk digunakan oleh pengurusan tertinggi universiti.

USM akan menyambut ulangtahun penubuhannya yang ke-50 tahun pada tahun hadapan. Justeru untuk memulakan sambutan ini hingga ke tahun hadapan, banyak program-program dan aktiviti telah direncanakan oleh pihak USM bagi menyemarakkan sambutan jubli emas ini.

Dalam majlis yang sama, turut dilancarkan ialah pameran yang menggalurkan sejarah 10 tahun pertama penubuhan Universiti Sains Malaysia. Pameran ini menampilkan beberapa individu, peristiwa penting dan susur masa pengasasan 10 tahun pertama USM, dan tempoh 10 tahun ini boleh dianggap sebagai fasa pengasasan USM yang menentukan corak serta hala tuju USM untuk tempoh berikutnya. 

Beberapa koleksi artifak terpilih dari koleksi tetap USM turut dipamerkan dalam rancangan Program Inisiatif Konservasi, Preservasi dan Restorasi Artifak USM. Program ini yang buat pertama kalinya dilaksanakan telah dipertanggungjawabkan kepada Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM untuk menguruskannya.

Program ini bertujuan untuk memelihara, memulihara dan membaik pulih bahan bersejarah yang mempunyai kaitan dengan pembangunan USM sepanjang usianya 50 tahun.

Selain itu, Tuanku Canselor turut melancarkan Pameran VERSATILITY “The Art of Kirtanraw Autistic Artist” yang merupakan pameran hasil seni seorang insan yang mengalami Autism.

Turut hadir ke majlis ini ialah Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Dato’ M Jegathesan; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dr. Hari Narayanan P Ondiveeran; Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail; penerima-penerima Ijazah Kehormat dan Profesor Emeritus USM serta para kenamaan lain.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: MPRC

  • Created on .
  • Hits: 2958

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024