USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEMANGAT SAYANGI MALAYSIAKU WARNAI BUSKING CHARITY CHALLENGE 2018

USM KUBANG KERIAN, 14 Oktober 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi diberi kepercayaan menjadi tuan rumah 'Busking Challenge Charity 2018' anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, di sini semalam.

Sebanyak 11 pasukan menyertai pertandingan pada peringkat saringan dan hanya enam pasukan layak ke peringkat akhir iaitu Armonia Buskers dan Tribute Buskers dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Penunu Bunsen Buskers dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Rythma Melodi Buskers dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), De' Mahameru dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan SI Buskers dari USM.

Persaingan sengit berakhir dengan kemenangan mutlak menjadi milik Tribute Buskers dari UPSI yang turut merangkul dua anugerah iaitu Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.

UTHM yang menjadi juara tahun sebelumnya berada di tempat kedua dan turut menerima Anugerah Lagu Terbaik iaitu Magis Negaraku hasil ciptaan mereka sendiri.

UKM yang menyanyikan lagu lagenda negara Dato' Sudirman Haji Arshad dengan kepelbagaian genre ditampilkan meraih tempat ketiga dan Anugerah Khas VVIP.

Keunikan penampilan SI Busker berbusana tradisional dari USM membolehkan mereka membawa balik Anugerah Khas Juri.

'Busking Challenge Charity 2018' dengan #negaraku memerlukan kumpulan bertanding menyanyikan lagu-lagu patriotik yang membawa semangat cintakan negara selaras dengan tema kemerdekaan 'Sayangi Malaysiaku'.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.

Turut hadir memeriahkan pertandingan akhir tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM merangkap Timbalan Pengerusi MAKUM, Profesor Dr. Abdul Malek Abdul Karim; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim dan Pengarah Pusat Kebudayaan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Nurfaizal Fariz Sahdan.

Program tersebut dimeriahkan oleh warga kampus yang memenuhi Dewan Utama apabila sebanyak seribu tiket terjual.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 1005

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024