USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEDEKAD IPPT: NC SERU TINGKAT KECEMERLANGAN

IMG 3999 copy

PULAU PINANG, 4 Jan. 2012 – Warga Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) diseru agar mengekalkan semangat kerjasama dan saling bantu membantu bagi meningkatkan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan akademik di peringkat dunia.

Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, setelah genap mencapai usia sedekad, IPPT diharap dapat meningkatkan mutu pencapaian dan produktivi untuk terus memacu USM dalam kelasnya tersendiri.

Katanya, IPPT mempunyai kekuatan dan asas yang tersendiri, selain kemampuan untuk menjelajah dunia antarabangsa jika sekiranya mutu pencapaian sentiasa ditingkatkan ke arah menepati standard dan kriteria global.

``Justeru, sebagai sebuah pusat tanggungjawab di bawah Universiti USM, IPPT seharusnya  bekerjasama dengan pihak-pihak lain di universiti ini untuk mencari kaedah yang sesuai bagi memantapkan kualiti KPI universiti setiap tahun.

``Perancangan awal dalam melaksanakan sesuatu perkara perlu dititikberatkan bagi memastikan setiap yang dilakukan menghasilkan output terbaik, bermutu dan mampu diiktiraf di persada global,’’ ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan sambutan ulangtahun ke-10 penubuhan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, serentak melancarkan buku bertajuk Sedekad IPPT di sini baru-baru ini.

Buku tersebut diterbitkan bagi melihat kembali liku-liku perjalanan dan pencapaian IPPT sepanjang 10 tahun ditubuhkan, sekaligus melihat cabaran dan tanggungjawab yang perlu diteruskan bagi membangunkan kecemerlangan institusi tersebut sebagai satu pusat ilmu yang terulung dan terkenal di serata dunia.

Dalam pada itu, sambutan Sedekad IPPT telah diadakan di Perkarangan Kompleks Klinikal dengan pelbagai aktivti menarik, antaranya ialah penganjuran Hari Warga Staf IPPT 2012 yang julung kali diadakan.

Aktiviti berkenaan turut dimeriahkan dengan penyertaan dan penglibatan seluruh warga IPPT termasuk pegawai-pegawai tertinggi dari semua bahagian termasuk menyertai sukaneka dan pelbagai permainan interaktif lain.

 Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Bendahari, Salmiah Che Puteh dan Pengarah IPPT USM, Prof. Abdul Aziz Tajuddin.

 

 

  • Created on .
  • Hits: 2713

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024