USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BUDAYAKAN AMALAN INTEGRITI KEKANG RASUAH

DSC 6227

USM, PULAU PINANG, 24 Sept. 2018 – Setiap organisasi perlu memperkukuh dan membudayakan amalan integriti dalam kalangan warganya bagi menjamin sebarang unsur rasuah dapat dikekang sebelum ia bermula.

Demikian kata Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Pulau Pinang (SPRM Pulau Pinang), Dato' Wan Ramli Wan Abdullah kepada warga Jabatan Pembangunan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam sesi ceramah khas bertajuk ‘Ke Arah Membudayakan Anti Rasuah di dalam Perkhidmatan’ yang disampaikan beliau di sini baru-baru ini.

Sesi tersebut yang dianjurkan oleh Unit Integriti, Pejabat Perundangan, USM telah dapat mengumpul kehadiran hampir kesemua warga Jabatan Pembangunan daripada Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) daripada pelbagai gred perkhidmatan.

DSC 6225

Wan Ramli berkata, perkhidmatan berintegriti amat penting agar membuahkan hasil yang terbaik dan berkat kepada diri sendiri dan organisasi.

Sesi ini turut menyentuh berkenaan sistem kehadiran yang mana ketua jabatan perlu memainkan peranan dengan datang awal ke pejabat dan sebagai individu yang paling lewat meninggalkan pejabat sebagai contoh kepada semua staf di bawah seliaan masing-masing agar mereka tidak menyalahgunakan masa kerja dengan sewenang-wenangnya.

DSC 6234

Semua warga Jabatan Pembangunan juga diingatkan supaya menghindari diri daripada menerima sebarang tawaran atau hadiah, sama ada secara terang-terangan atau tidak, daripada mana-mana pihak luar yang mempunyai kepentingan dengan Universiti termasuklah daripada pihak kontraktor.

Tawaran atau hadiah ini adalah termasuk tawaran bercuti atau bermain golf, tawaran menyediakan tiket penerbangan atau lain-lain jenis tawaran yang akhirnya akan menyusahkan diri sendiri dan keluarga,” katanya.

DSC 6230

Turut dikongsikan beliau sebagai amalan tidak berintegriti ialah isu menaikkan harga barang yang dibeli dalam urusan rasmi melalui rundingan secara peribadi dengan pekedai demi mendapat habuan bagi poket sendiri, memilih sebutharga kontrak binaan walaupun harga yang ditawarkan adalah tidak munasabah, melantik kontraktor yang pernah memberikan masalah di dalam projek yang lampau, menyeleweng wang geran penyelidikan milik sendiri atau wang geran milik orang lain untuk kepentingan diri sendiri, menguruskan pembelian/sewaan menerusi syarikat sendiri atau syarikat kepunyaan ahli keluarga serta kesalahan lain yang boleh disabitkan di bawah Akta SPRM 2009.

Sesi perjumpaan khas ini juga telah memberikan peluang kepada warga Jabatan Pembangunan yang hadir untuk bersemuka dengan Pengarah SPRM bagi bertanyakan sebarang kemusykilan yang ada.

DSC 6192

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Chin Chen Huat; dan Penasihat Undang-undang USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi.

Teks asal: Salinatin Mohamad Saleh/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1470

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024