USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AGILENT KUKUHKAN KESINABUNGAN DENGAN USM

usmmoa

PULAU PINANG, 3 Jan. 2013 – Rakan strategik dari pihak industri, Agilent Technologies Microwave Products (M) Sdn. Bhd. meneruskan kesinambungan kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) melalui penandatangan satu lagi memorandum persefaham (MoA) di sini hari ini.

MoA berkenaan antara lain menjadi asas kepada usaha pihak Agilent bersama-sama USM membangunkan modal insan berprestasi tinggi melalui pengagihan biasiswa kepada pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kritikal seperti Kejuruteraan dan Sains Komputer.

Melalui penandatanganan MoA tersebut, pihak Agilent bersetuju untuk membiayai sekurang-kurangnya 10 pelajar berpotensi dan mempunyai kelayakan akademik cemerlang dengan jumalah RM 5,000 bagi setiap semester pengajian.

Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, USM komited untuk bersama-sama pihak industri dalam melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi dan berkeupayaan menjadi pemimpin pada masa depan.

Katanya, pembangunan modal insan juga tidak melihat kepada pencapaian di bidang akademik semata-mata, namun ia perlu disertai dengan kemampuan mereka mengadaptasi kemahiran kendiri dalam menunaikan tanggungjawab di bidang kerjaya.

``Kita perlu melihat perkara ini dengan lebih menyeluruh. Adalah lebih baik membangunkan modal insan yang mampu menjadi baik kepada terbaik daripada melatih hanya mereka yang terbaik tetapi tidak berupaya untuk mengetengahkan bakat yang ada ke tahap maksimum,’’ ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika majlis penandatanganan MoA tersebut di sini hari ini. Agilent diwakili oleh Pengarah Urusan merangkap Naib Pengerusinya, Shidah Ahmad. Turut hadir ialan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Prof. Adnan Hussein.

Mengulas penglibatan pihak industri dalam sektor pengajian tinggi negara, beliau berkata, sejak tahun 1970 terdapat lebih daripada 20 syarikat dan individu berminat dan menyediakan pinjaman pelajaran bagi para pelajar untuk meneruskan pengajian ijazah pertama mereka.

``Sekarang pula kita telah beralih ke satu lagi tahap di mana kita memberikan biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada para pelajar, bukannya pinjaman pelajaran yang akan membebankan mereka sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian kelak,’’ ujar beliau.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1374

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024